Selasa, 1 Oktober 2019 | 5:07pm
PENGARAH Urusan Kumpulan Straits Inter Logistic Bhd, Datuk Sri Ho Kam Choy (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Mubarak Ali Gulam Rasul (tiga dari kanan) memeterai perjanjian perkhidmatan pengisian bahan api di Petaling Jaya. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
PENGARAH Urusan Kumpulan Straits Inter Logistic Bhd, Datuk Sri Ho Kam Choy (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Mubarak Ali Gulam Rasul (tiga dari kanan) memeterai perjanjian perkhidmatan pengisian bahan api di Petaling Jaya. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Straits sedia khidmat pengisian bahan api di Pelabuhan Lumut

KUALA LUMPUR: Unit Straits Inter Logistics Bhd, Tumpuan Megah Development Sdn Bhd (TMD) memeterai perjanjian perkhidmatan pengisian bahan api dengan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMTSB), pengendali Pelabuhan Lumut yang mengendalikan lebih 500 buah kapal setahun.

Perjanjian itu, yang menyaksikan kemasukan Pelabuhan Lumut ke dalam portfolio perkhidmatan pengisian bahan api Straits, membabitkan tempoh kontrak selama setahun mulai 1 Oktober 2019, dengan opsyen untuk diperbaharui untuk tempoh tidak lebih setahun lagi, atas persetujuan bersama, katanya dalam satu kenyataan.

“LMTSB telah bersetuju untuk melantik TMD sebagai pemegang hak eksklusif untuk mengendalikan operasi, mengurus dan menyediakan perkhidmatan itu yang terletak di atau dalam had kawasan Pelabuhan Lumut, tetapi tidak terhad ke kawasan jeti/limbungan, tempat berlabuh dan kawasan hentian Pit Bunker,” katanya.

Straits Inter Logistics terbabit dalam aktiviti perniagaan minyak dan perkhidmatan pengisian bahan api dan pemegangan pelaburan.

Perkhidmatan pengisian bahan api membabitkan penyediaan pengisian minyak dan gas marin dan minyak bahan api marin menerusi kapal ke kapal dan kapal lain di lautan seperti kapal tangki, kapal kontena dan kapal layar.

Pada masa ini, TMD beroperasi di lapan pelabuhan di Malaysia, iaitu Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor Bahru, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Kuala Terengganu, Pelabuhan Labuan dan Pelabuhan Miri, kesemuanya dilesenkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk perkhidmatan pengisian bahan api.

LMTSB memiliki dan mengendalikan operasi Terminal Maritim Lumut di Kg Acheh, Lumut serta telah beroperasi lebih 20 tahun.

-BERNAMA

Berita Harian X