Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:29pm
Utusan akan melepaskan 70 peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, Dilof kepada Aurora Mulia. - Foto hiasan

Utusan jual kepentingan Dilof kepada Aurora Mulia

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) akan melepaskan 70 peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd (Dilof) kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia).

Dalam satu kenyataan, Utusan berkata Dilof adalah anak syarikat 100 peratus miliknya yang juga pemegang permit penerbitan bagi dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

Menurut kenyataan itu, penyerahan kepentingan dalam Dilof dibuat untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana berkenaan.

“Ini untuk memastikan Utusan yang berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo yang berusia 15 tahun dapat diteruskan.

“Utusan kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof ini akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan,” demikian menurut kenyataan berkenaan di Kuala Lumpur.

Aurora Mulia dipilih kerana syarikat berkenaan adalah pemegang saham utama Media Prima Bhd.

“Pelaburan ini juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan,” katanya.

Berita Harian X