Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:32pm
Axiata Group akan menghentikan proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam jangka terdekat ini. - Arkib NSTP

Axiata henti sementara semua rancangan penggabungan

KUALA LUMPUR: Axiata Group akan menghentikan proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam jangka terdekat ini, memandangkan penyedia telekomunikasi tanpa wayar terbesar di Malaysia itu menunjukkan peningkatan operasinya, kata sumber yang mempunyai maklumat berkaitan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Lembaga Pengarah minggu lalu susulan penamatan rundingan penggabungan dengan perniagaan Telenor ASA, demikian menurut sumber yang enggan dinamakan kerana maklumat itu sulit.

Axiata tidak akan meneruskan rundingan rasmi bagi sebarang pendekatan untuk perniagaan menara tanpa wayar bernilai AS$3 bilion (RM12.58 bilion) atau operasi telekomunikasinya di Indonesia sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

Sumber berkata, sebelum ini, CK Hutchison Holdings Ltd dari Hong Kong secara tidak rasminya menunjukkan minat dalam meneroka gabungan perniagaan tanpa wayarnya di Indonesia dengan unit tempatan Axiata di sana, PT XL.

Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dalam satu temubual pada September lalu berkata, unit perniagaan menara telekomunikasinya, Edotco Group Sdn Bhd telah menerima beberapa tawaran pengambilalihan, seterusnya mengesahkan laporan awal Bloomberg.

Dana pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham utama Axiata dan sumber berkata, syarikat telekomunikasi itu mungkin akan menilai semula tawaran berkenaan apabila ia lebih kukuh tahun depan, kata sumber.

Syarikat berkenaan dijangka mencatat pendapatan bersih sebanyak RM1.2 bilion pada tahun kewangan ini, pemulihan daripada kerugian sebanyak RM5 bilion pada 2018, demikian menurut purata penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.

Penamatan sementara itu menyusuli kenyataan Jamaludin bahawa gergasi telekomunikasi itu akan terus memberi tumpuan kepada keberkesanan operasi, berikutan industri yang perlahan dan dalam masa yang sama, penggabungan masih menjadi strategi utama untuk jangka panjang.

Ia juga selepas Axiata dan Telenor bulan lalu menamatkan rundingan bersama untuk menggabungkan operasi mereka di Asia dan menubuhkan syarikat dengan nilai jualan AS$13 bilion (RM54.1 bilion) dengan lebih 300 juta pelanggan merangkumi sembilan negara.

Keutamaan tertinggi Axiata adalah untuk memberi tumpuan kepada matlamat janaan tunai dan keuntungan manakala pengukuhan kekal penting kepada strategi pertumbuhan syarikat dalam beberapa pasaran, demikian menurut wakil Axiata dalam email kepada Bloomberg.

“Kami ingin menekankan bahawa kami tidak terdesak untuk memuktamadkan perjanjian tetapi kami sedar bahawa proses pengukuhan mengambil masa sehingga setahun untuk dimeterai dan dua tiga tahun lagi untuk menuai hasilnya.

“Oleh itu, rundingan mengenai kerjasama strategik perlu bermula sekarang,” kata wakil berkenaan. - Bloomberg

Berita Harian X