Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:34pm

FWD Takaful perkenal insurans dalam talian

KUALA LUMPUR: FWD Takaful Bhd memperkenalkan platform insurans dalam talian pertamanya, FWD Protect Direct sebagai usaha ke arah digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain, berkata pelan perlindungan takaful yang dilaksanakan sepenuhnya menerusi dalam talian itu, melindungi sehingga empat ahli keluarga dalam satu sijil.

Katanya, dengan tawaran di atas talian, ia membolehkan pelanggan menguruskan sijil takaful mengikut kesesuaian kewangan, sekali gus meningkatkan penembusan pemilikan sijil perlindungan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Kami mahu memberi perbezaan yang positif kepada kehidupan rakyat di negara ini dengan produk perlindungan takaful terbaharu kami.

“Saluran dalam talian kami yang mudah, boleh dipercayai dan secara langsung, membolehkan pelanggan kami memilih sijil perlindungan mengikut kesesuaian,” katanya kepada media pada pelancaran produk terbaharu itu di sini, hari ini.

FWD Protect Direct, ditawarkan dalam empat pilihan sijil iaitu individu, pasangan, keluarga (maksimum dua anak) dan ibu/bapa tunggal.

Ia ditawarkan pada harga mampu milik serendah 40 sen sehari untuk pelan individu dan RM1.20 bagi pelan keluarga, dengan caruman tidak berubah sepanjang tempoh sijil perlindungan.

Mengulas mengenai pelan terbaharu itu, Salim berkata, pelanggan akan memperoleh perlindungan dalam tempoh 24 jam selepas selesai permohonan dan sijil perlindungan akan dihantar terus ke e-mel pelanggan.

Melangkah ke hadapan, sebagai jenama baharu di pasaran tempatan, FWD Takaful komited untuk melindungi pelanggannya terutama keluarga dengan melancarkan dua produk baharu sebelum akhir tahun ini.

“Produk terbaharu itu lebih memfokuskan kepada penyakit kritikal seperti kanser dan perlindungan keluarga yang lebih komprehensif,” katanya.

Sejak dilancarkan pada Julai lalu, Salim berkata, FWD Takaful memiliki 400 ejen berdaftar di seluruh negara dan angka itu dijangka berkembang dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.

“Sejajar dengan jangkaan pasaran Takaful tempatan yang akan berkembang sehingga 25 peratus pada 2020, kami juga optimis pegangan pasaran FWD Takaful dalam industri ini mampu mencecah sehingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

FWD Takaful adalah cabang insurans terbaharu FWD Group, yang ditubuhkan pada 2013.

Ia memiliki sembilan pasaran antaranya Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Ketika ini, ia memiliki lima juta pelanggan dengan 4,600 tenaga kerja dan 17,900 ejen berdaftar di samping merekodkan aset sebanyak AS$30 bilion.

Berita Harian X