Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:52pm
Cadangan pemberian insentif untuk automasi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, akan membantu meningkatkan keyakinan perniagaan dalam pelaburan automasi. - Foto hiasan

Insentif automasi tingkat pelaburan automasi: MARii

KUALA LUMPUR: Cadangan pemberian insentif untuk automasi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, akan membantu meningkatkan keyakinan perniagaan dalam pelaburan automasi, kerana ia menunjukkan komitmen yang lebih kukuh daripada kerajaan dalam membangunkan teknologi revolusi industri keempat (Industri 4.0) dalam ekosistem tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Robotik Automotif dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata ia akan menjadikan proses penguatkuasaan automasi lebih mudah kerana halangan kewangan dapat dikurangkan.

“Kerajaan telah mengambil langkah yang betul dalam mendorong pengilangan pintar, terutama dalam menggalakkan penggunaan teknologi automasi untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak pelancaran Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) pada 2018, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, melalui MARii, telah menjalankan pelbagai program bagi memudahkan pengeluar memasuki automasi pintar, membimbing syarikat Malaysia mengguna pakai automasi melalui pembangunan strategi teknologi dalam rancangan perniagaan mereka.


KETUA Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Oleh itu, beliau berkata, pengumuman mengenai lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan (ACA), serta geran padanan untuk 2,000 syarikat perkilangan dan perkhidmatan, adalah langkah yang disambut baik, terutama kerana keputusan pelaburan dalam automasi adalah pertimbangan utama bagi perniagaan, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor automotif dan mobiliti.

Selain itu, Madani berkata, penambahan peruntukan untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, menambah dimensi baharu kepada proses penguatkuasaan automasi memandangkan aspek pembangunan modal insan penting dalam ekosistem teknologi lestari.

Beliau berkata pembangunan modal insan juga turut mengambil kira pertimbangan kewangan terhadap penggunaan automasi pintar dalam industri.

Katanya, penekanan terhadap pembangunan modal insan juga akan membantu mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan telah melanjutkan tahun taksiran untuk Elaun Modal Dipercepatkan dan elaun modal peralatan automasi bagi sektor perkilangan ke atas RM2 juta pertama dan RM4 juta yang ditanggung atas perbelanjaan modal yang layak untuk tahun taksiran 2023.

Insentif itu juga akan diperluas untuk merangkumi sektor perkhidmatan ke atas RM2 juta pertama yang ditanggung atas perbelanjaan modal yang layak dari tahun taksiran 2020 hingga tahun taksiran 2023.

Kerajaan juga memperuntukkan RM550 juta untuk menyediakan geran pemadanan automatik pintar sehingga RM2 juta bagi setiap syarikat kepada 1,000 perkilangan dan 1,000 syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka.

Kerajaan juga meningkatkan Skim Jaminan Modal Kerja (SJPP) dengan jaminannya kepada perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera (SME), PKS berorientasikan eksport dan IKS yang melabur dalam automasi dan digitalisasi akan meningkat kepada 80 peratus daripada 70 peratus, sementara yuran jaminan akan dikurangkan kepada hanya 0.75 peratus. - BERNAMA

Berita Harian X