Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:14pm
PENGERUSI Lembaga Gabenor Kolej Epsom di Malaysia (ECiM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes ketika berucap di majlis pelancaran Program A-Level 18 bulan di Kolej Epsom, Nilai. - Foto Adzlan Sidek

Belanjawan 2020 buka peluang syarikat penerbangan - Tony Fernandes

NILAI: AirAsia Bhd menyambut baik pembentangan Belanjawan 2020 yang turut menumpukan kepada pembangunan sektor pelancongan Malaysia.

Ia diyakini akan turut mendorong kepada pertumbuhan pendapatan syarikat penerbangan di negara.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan merebut peluang sedia ada bagi menjayakan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka di dunia.

Katanya, inisiatif kerajaan untuk terus memberi tumpuan terhadap pembangunan sektor pelancongan adalah langkah sewajarnya kerana ia antara penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Kerajaan telah perkenalkan satu belanjawan yang baik dan seimbang, sebab itu ia penting untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan insiaitif ini.

"Kehadiran 30 juta pelancong (yang dijangka kerajaan menerusi Tahun Melawat Malaysia 2020 ) mampu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat tahun hadapan dan pastinya AirAsia akan memperkenalkan pelbagai promosi kepada penumpang.

"Diharapkan juga pihak lapangan terbang akan bantu syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines, yang menumpu kepada pasaran berbeza, supaya dapat terus membangun dan mengambil peluang dalam mengembangkan sektor pelancongan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program A-Level di Kolej Epsom di Malaysia (ECiM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua ECiM, Dr Murray Tod.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menerusi pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada minggu lalu mengumumkan sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) ke arah usaha menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, dengan sasaran 30 juta pelancong.

Sementara itu, Fernandes yang juga Pengerusi Lembaga ECiM, berkata ECiM akan melancarkan program A-Level merangkumi lapan mata pelajaran bermula 1 Januari 2020 dalam usaha menawarkan pendidikan tinggi dengan bayaran berpatutan kepada pelajar tempatan.

"Program selama 18 bulan ini tersedia sebagai pilihan ideal untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin meneruskan pelajaran sejurus selesai menduduki peperiksaan terbabit.

"Bayaran yuran bagi program khas ini berjumlah RM40,000 berbanding RM180,000 (yang ditawarkan menerusi program tradisional selama dua tahun) adalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia," katanya.

Berita Harian X