Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:23pm
HUAWEI Technologies Co

Huawei tumpu pelaburan 5G di India

NEW DELHI: Huawei Technologies Co yakin menemui pelanggan 5G di India, yang kerajaannya masih lagi belum membuat keputusan terhadap gesaan Amerika Syarikat (AS) supaya memboikot syarikat China.

Pengeluar komponen rangkaian 5G terbesar dunia itu berkata, ia terus melabur di India dan bekerjasama dengan kerajaannya untuk membidas tuduhan AS bahawa peralatannya boleh digunakan untuk membantu kerajaan China mengintip negara lain.

“Pendekatan yang kami ambil untuk berhubung dengan kerajaan India adalah amat telus, langsung dan bekerjasama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huawei di India, Jay Chen dalam satu temubual di sini.

“Kami memberikan komitmen penuh untuk mematuhi semua syarat dan peraturan, pematuhan sepenuhnya.”

India, pasaran tanpa wayar terbesar dunia di luar China dari segi jumlah pelanggan, menjadi dokus pelaburan oleh Huawei, walaupun kerajaannya masih belum menetapkan tarikh lelongan spektrum 5G kepada penyedia perkhidmatan.

Walaupun pentadbiran Trump meminta supaya negara lain supaya menolak Huawei, produk syarikat itu kekal penting kepada ekosistem tanpa wayar dan pembangunan teknologi India, kata Chen.

India berada di belakang China dan sesetengah negara lain dalam rancangan untuk memperkenalkan 5G, rangkaian pantas yang penting untuk membangunkan automasi kilang, pemanduan automatik dan aplikasi kepintaran buatan lain.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi negara itu bergelut dengan hutang dan menganggap rancangan kerajaan untuk melelong gelombang 5G sebagai terlalu mahal.

“Pasaran India kini mempunyai satu ekosistem,” kata Chen dalam satu temubual.

“Jika ekosistem ini terpecah disebabkan ketiadaan Huawei, saya fikir kerugiannya bukan hanya dari segi kewangan, malah kehilangan pembangunan teknologi.”

-Bloomberg

Berita Harian X