Rabu, 16 Oktober 2019 | 3:47pm
KETUA Pegawai Eksekutif Ryde, Terence Zou ketika ditemui pada pelancaran aplikasi perkhidmatan RydePool di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
KETUA Pegawai Eksekutif Ryde, Terence Zou ketika ditemui pada pelancaran aplikasi perkhidmatan RydePool di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal

RydePool sasar 5,000 pemandu berdaftar

KUALA LUMPUR: Ryde, syarikat pemula perkongsian kereta dari Singapura, menyasar untuk mendaftarkan 5,000 pemandu dengan perkhidmatan RydePool, menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Terence Zou, berkata jumlah itu dianggap memadai untuk menampung permintaan daripada penumpang perkhidmatan aplikasi syarikat berkenaan, terutama pada waktu puncak iaitu ketika pergi dan balik daripada kerja.

Sebagai permulaan, katanya perkhidmatan perkongsian kereta itu akan ditawarkan di kawasan Lembah Klang terlebih dulu sebelum diperluaskan ke bandar utama lain seperti di Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

“Pemandu RydePool tidak perlu mengambil ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kerana mereka tidak tertakluk dengan peraturan yang dikenakan kepada pemandu seru-pandu (e-hailing).

“Ini kerana perkhidmatan ditawarkan kami adalah berbeza termasuk operasi perniagaan yang dijalankan adalah tidak berasaskan keuntungan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran aplikasi perkhidmatan berkenaan di sini, hari ini.

Aplikasi itu dibangunkan Zou pada 2015 dan langkah kemasukan ke Malaysia adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan globalnya termasuk persediaan melebarkan sayap ke Sydney, Australia pada tahun depan dan seterusnya ke Hong Kong.

Sejak mula ditubuhkan, aplikasi Ryde telah dimuat turun lebih 500,000 kali dengan lebih 25,000 pemandu dan lebih sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan berkenaan di Singapura.

Dalam pada itu, Zou berkata, perkhidmatan ditawarkan pihaknya itu mampu mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama waktu puncak selain mengurangkan pelepasan karbon apabila jumlah kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan.

Selain itu, katanya, ia juga boleh mengembangkan rangkaian pengguna dengan mengenali rakan baharu.

“RydePool bukan sekadar aplikasi, kami mahu membina sebuah komuniti yang mewujudkan persekitaran kongsi kereta yang lebih kondusif untuk rakyat Malaysia.

“Sasaran kami ialah untuk mendidik masyarakat mengenai manfaat berkongsi kereta dan mewujudkan pilihan pengangkutan harian yang lebih mampan dan mesra alam sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, tambang RydePool adalah berasaskan model bukan keuntungan yang mana penumpang membayar kos sumbangan perjalanan selepas mengambil kira jarak perjalanan, petrol, tol dan kos susut nilai kereta.

“Kami juga menawarkan komisen sepenuhnya tambang yang diperolehi kepada pemandu bagi membolehkan mereka menampung perbelanjaan pemanduan,” katanya.

Berita Harian X