Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:54pm
KAKITANGAN Kenny Rogers Roasters, Sunway Velocity Mall menunjukkan menu ‘Butter Chicken Meal’ di Sunway Velocity Mall. NSTP/Owee Ah Chun.

Kenny Rogers Roasters buka lebih banyak restoran

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian restoran Kenny Rogers Roasters (KRR), Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd (Berjaya Roasters) merancang untuk membuka lebih banyak cawangan baharu disebabkan permintaan yang semakin meningkat.

Pengurus Pemasarannya, Kennie Thong, berkata industri makanan dan minuman (F&B) masih mendapat permintaan dan mencatatkan prestasi positif di sebalik kelembapan ekonomi.

“Lantaran itu, syarikat akan terus membuka lebih banyak cawangan baharu dalam tahun ini dan tahun depan kerana permintaan terhadap rangkaian restoran kami masih tinggi.

KENNIE Thong meletakkan sos butter keatas ayam semasa‘ memperkenalkan menu ’Butter Chicken Meal di Kenny Rogers Roasters, Sunway Velocity Mall. NSTP/Owee Ah Chun.

“Industri makanan masih ada, masyarakat tempatan masih gemar untuk menikmati sajian di luar,” katanya selepas majlis pelancaran menu baharu, Garlic Butter Chicken di sini, hari ini.

Thong berkata, ketika ini Berjaya Roasters mempunyai 81 cawangan restoran KRR di seluruh negara yang menawarkan produk serta perkhidmatan ayam panggang kepada orang ramai.

Beliau berkata, pelbagai usaha juga dilakukan bagi mempromosi jenama itu seperti memperkenalkan tiga hingga lima jenis hidangan baharu kepada pelanggan dalam tempoh setahun.

“Sebagai pengendali restoran, kami sentiasa mahu menyediakan hidangan ayam panggang yang berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” katanya.

Thong berkata, bagi menembusi pelbagai segmen pasaran pelanggan, restoran itu turut tampil dengan empat konsep berbeza bagi memenuhi keperluan di pelbagai lokasi.

Katanya, konsep itu antaranya adalah seperti makan di restoran, pandu lalu, ‘Grab and Go’ serta pesan dan ambil yang direka khusus untuk menepati gaya hidup rakyat Malaysia yang bergerak pantas.

“Kami juga terus merekodkan pendapatan yang positif melalui beberapa inisiatif seperti perkhidmatan katering serta penghantaran makanan dengan kerjasama rakan niaga yang lain.

“Ini seiring dengan kehendak pasaran yang memerlukan lebih perkhidmatan bagi KRR, tidak hanya menumpukan kepada pelanggan yang datang ke restoran saja,” katanya.

Mengulas mengenai produk baharunya, Thong berkata, hidangan Garlic Butter Chicken adalah menu edisi terhad yang mula ditawarkan sehingga 19 Januari 2020.

“Set hidangan ayam panggang baharu ini dengan rasa bawang putih dan mentega dijual pada harga bermula RM24.90 hingga RM88.80 bergantung kepada jenis hidangan atau set yang dipilih.

“Malah, bersama dengan set hidangan itu, kami turut memperkenalkan minuman Minty Passion Mocktail yang mempunyai gabungan buah markisa, limau dan daun pudina,” katanya.

Berita Harian X