Khamis, 17 Oktober 2019 | 9:24am
Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd Zulfiqar Zainuddin menerangkan mengenai pembangunan teknologi Blockchain pada Perasmian i2M'S Blockchain Village yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Hotel Ramada, semalam. - Foto BERNAMA

i2M Ventures lancar 'Blockchain Village' di Medini

ISKANDAR PUTERI: Anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, i2M Ventures Sdn Bhd semalam melancarkan ‘Blockchain Village’ di Medini (BVAM) secara rasmi untuk menyokong lagi pertumbuhan ekosistem blockchain di Malaysia.

Pengarah Urusan i2M Ventures, Zulfiqar Zainuddin, berkata BVAM bertujuan membangunkan ekosistem blockchain di Bandar Medini di sini untuk menyediakan platform bagi memajukan lagi teknologi dan menggalakkan penerimagunaan pasaran, kepada penyedia perkhidmatan, institusi sedia ada, syarikat pemula niaga blockchain dan pihak berkepentingan.

“BVAM juga dijangka menawarkan 1,200 pekerjaan bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan menjelang 2022 selain menjana pelaburan baharu di Medini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran BVAM oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.


Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (lima, kanan) dan Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd Zulfiqar Zainuddin (lima, kiri) bergambar bersama peserta GBS Iskandar Campus Connect Java Training Program 2019 selepas Perasmian i2M'S Blockchain Village di sebuah hotel, semalam. - Foto BERNAMA

Zulfiqar berkata, pembangunan dan ketersediaan bakat masih menjadi antara faktor penting dalam ekosistem blockchain.

Beliau berkata, pada masa ini OK Blockchain, syarikat dari Jepun, telah melatih lebih 107 pekerja menerusi Inisiatif ‘GBS Iskandar Campus Connect’, kerjasama antara peserta industri dan pihak akademik dengan dibantu i2M.

BVAM adalah penambahan kepada program GBS Iskandar yang dijangka menjana pelaburan bernilai RM562 juta menjelang 2022. - BERNAMA

Berita Harian X