Khamis, 17 Oktober 2019 | 4:53pm
AirAsia menggesa MAHB segera menangani masalah kesesakan kaunter imigresen di klia2.

'Atasi segera kesesakan kaunter imigresen klia2'

SEPANG: AirAsia menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) segera menangani masalah kesesakan kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ia sebagai persediaan menerima kedatangan lebih 30 juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata kesesakan disebabkan oleh barisan yang panjang di kaunter imigresen bagi pasport asing di klia2 berlaku setiap hari.

Mereka berkata, ia menjadi semakin teruk dan ramai tetamu membuat aduan bahawa mereka terlepas penerbangan sambungan dan acara penting.

“Lapangan terbang adalah tempat pertama yang akan dilihat oleh pelancong setibanya di Malaysia dan ia sangat memalukan apabila pengalaman pertama mereka di negara kita menunjukkan ketidakcekapan dan perkhidmatan yang lemah, terutama apabila VM2020 akan tiba tidak lama lagi,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Riad dan Benyamin berkata, dalam beberapa kes, tetamu pernah beratur lebih dari satu jam di barisan imigresen, terutama pada waktu puncak antara 3 pagi hingga 7 pagi, 2 petang hingga 7 petang dan 9 malam hingga tengah malam.

“Masalah ini disebabkan oleh reka bentuk dan konfigurasi klia2 yang tidak betul. Kami telah bangkitkan isu ini kepada MAHB dan diberikan jaminan bahawa pengubahsuaian akan dibuat bagi menambah kawasan menunggu untuk kaunter imigresen sehingga ke kawasan yang kini didiami oleh premis bebas cukai.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kami masih tidak melihat sebarang tindakan untuk menangani masalah ini daripada pihak MAHB dan kesesakan menjadi semakin teruk setiap hari mengakibatkan tetamu terpaksa beratur panjang malah hingga ke pintu ketibaan,” kata mereka.

Berita Harian X