Khamis, 17 Oktober 2019 | 6:24pm

Tempoh tunggu e-hailing di KLIA ditetap lima minit

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan pelaksanaan tempoh menunggu lima minit bagi semua pemandu aplikasi seru-pandu (e-hailing) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah bertujuan menguruskan sebarang risiko kesesakan.

Dalam satu kenyataan, MAHB berkata ia dibuat untuk memastikan aliran kenderaan yang lancar di batas kaki lima (kerbside) dan bukan untuk menjana pendapatan tambahan sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

“Sebagai sebuah lapangan terbang yang sibuk, KLIA mempunyai purata 165,000 penumpang yang melalui terminal utama KLIA dan klia2 setiap hari.

“Disebabkan ini, penting untuk kami mengenakan tempoh menunggu maksimum untuk mengelakkan kesesakan dan sebarang ketidakselesaan yang boleh berlaku kepada tetamu di lapangan terbang kami,” katanya di sini, hari ini.

Dalam menentukan tempoh menunggu maksimum, MAHB telah mengendalikan kajian sebelum pelaksanaan yang menunjukkan bahawa pengambilan penumpang bagi perjalanan enam orang termasuk warga emas dan kanak-kanak boleh dicapai dalam tempoh kurang daripada empat minit.

“Data kami turut menunjukkan bahawa sejak 12 Oktober 2019, 95 peratus daripada semua pemandu aplikasi seru pandu berjaya mematuhi tempoh menunggu berkenaan dan ia telah meninggalkan impak yang signifikan ke atas aliran trafik di batas kaki lima terminal sekaligus mengurangkan kesesakan.

“Malah, mana-mana pemandu aplikasi seru pandu yang mengambil penumpang di terminal boleh mengelak daripada membayar sebarang caj dengan memandu keluar daripada terminal dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tiada sebarang caj akan dikenakan jika mereka keluar dalam tempoh berkenaan,” demikian menurut kenyataan itu.

MAHB turut menyarankan semua pemandu aplikasi seru pandu untuk membuat pengesahan terlebih dulu dengan penumpang mereka bagi memastikan penumpang sudah berada di lokasi pengambilan yang betul.

“Proses yang sama juga telah digariskan dalam pekeliling yang telah dihantar kepada semua pengendali aplikasi seru-pandu,” katanya.

Berita Harian X