Khamis, 17 Oktober 2019 | 7:32pm
WIDAD Group Bhd

Widad ambil alih konsesi UiTM Jasin

KUALA LUMPUR: Widad Group Bhd, syarikat yang terbabit dalam aktiviti pembinaan dan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu bercadang membeli 90 peratus pegangan dalam Serendah Heights Sdn Bhd (SHSB) dengan harga RM95.89 juta.

Susulan pembelian itu, kumpulan berkenaan akan mengambil alih konsesi oleh unit milik penuh SHSB, YBK Usahama Sdn Bhd (YBKU) bernilai RM861.6 juta.

YBKU memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 4 Mei 2010 untuk membangunkan kemudahan dan prasarana di kampus UiTM di Jasin, Melaka, serta menjalankan kerja penyelenggaraan.

Tempoh konsesi itu berakhir pada 2034.

“Cadangan pembelian itu adalah sejajar dengan aktiviti utama Widad iaitu pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu, langkah strategik yang akan meningkatkan baki nilai perolehan kontrak kami daripada anggaran RM910 juta ketika ini kepada RM1.8 bilion,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Widad Group adalah satu daripada lapan syarikat kontraktor utama Bumiputera dan antara 16 syarikat kontraktor utama di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X