Jumaat, 18 Oktober 2019 | 8:17am
Malaysia Airlines Bhd (MAB) mempunyai peluang luas untuk berubah namun terpaksa melaksanakan beberapa langkah getir bagi memulihkan keadaan.

MAB berpeluang berubah - CEO Qatar Airways

LANGKAWI: Malaysia Airlines Bhd (MAB) mempunyai peluang luas untuk berubah namun terpaksa melaksanakan beberapa langkah getir bagi memulihkan keadaannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qatar Airways Group, Akbar Al Baker.

Beliau berkata, pandangannya berhubung situasi dialami MAB turut dikongsikan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pertemuan mereka baru-baru ini.

“Ia adalah kunjungan hormat, untuk melihat sama ada terdapat sebarang langkah yang boleh kami lakukan untuk membantu MAB. (Dr Mahathir) menjemput saya kerana beliau mengenali saya sejak sekian lama dan mendengar apa yang telah saya suarakan mengenai usaha yang boleh dilakukan bagi tujuan pemulihan MAB.

“Namun, saya tidak boleh memaklumkan butiran apa yang saya kongsikan bersama Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di luar sidang media selepas meraikan ketibaan penerbangan sulung Qatar Airways ke Langkawi hari ini.

Beliau berkata, MAB adalah syarikat penerbangan yang amat baik namun mengalami beberapa masalah.

Bagaimanapun beliau yakin MAB memiliki peluang luas untuk mengubah situasi itu namun perlu melaksanakan beberapa langkah yang amat getir dalam usaha itu.

Akbar berkata, MAB boleh mempelajari pengalaman Qatar dalam pengurusan syarikat, perkhidmatan pelanggan dan seterusnya untuk berjaya dalam industri ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan nasional adalah elemen penting dalam ekonomi negara.

“Cuba bayangkan jika anda tidak memiliki syarikat penerbangan negara, namun anda mempunyai rancangan besar untuk memajukan sektor pelancongan.

“Mengapa perlu meraih simpati daripada syarikat penerbangan lain? Jadi, amat penting untuk MAB dikekalkan dan membolehkannya berkembang, namun pada masa sama, menghalang perkara-perkara yang menjejaskannya,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X