Jumaat, 18 Oktober 2019 | 2:31pm

Qatar Airways sedia bantu pulih Malaysia Airlines

LANGKAWI: Qatar Airways bersedia untuk membantu Malaysia Airlines Bhd kembali mencatatkan keuntungan, namun menolak untuk mengambil alih syarikat penerbangan nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker, berkata syarikat itu memiliki keupayaan yang mantap untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara tanpa perlu membeli Malaysia Airlines.

“Kami tidak berminat untuk mendapatkan Malaysia Airlines kerana sudah cukup kuat untuk berkembang di rantau ini. Oleh itu, kami tidak perlu mengambil alih syarikat penerbangan lain.

“Kami akan melihat jika ada perkara yang boleh dilakukan untuk membantu pemulihan Malaysia Airlines. Namun, kami tidak boleh mendedahkan butirannya kepada umum kerana perbincangan adalah bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada New Straits Times (NST) dalam wawancara eksklusif di sini.

Al Baker yakin bahawa Malaysia Airlines mempunyai peluang besar untuk pulih memandangkan syarikat penerbangan itu adalah sebahagian penting ekonomi Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci bagaimana Qatar Airways mampu membantu Malaysia Airlines, meskipun kedua-dua syarikat mempunyai perkongsian kod sejak 2001.

Kenyataan Al Baker itu secara tidak langsung menolak laporan bahawa Qatar Airways menjadi satu-satunya syarikat asing yang menghantar cadangan untuk mengambil alih Malaysia Airlines.

Sementara itu, individu yang rapat dengan perkara itu mengesahkan bahawa Malaysia Airlines tidak menerima sebarang cadangan dari Qatar Airways.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata, kerajaan menerima empat tawaran pengambilalihan bagi Malaysia Airlines, dengan majoriti daripadanya dari peserta tempatan.

Pemilik Malaysia Airlines, Khazanah Nasional Bhd berhasrat untuk memuktamadkan perjanjian pengambilalihan menjelang akhir tahun ini.

Pada Julai, Khazanah melantik Morgan Stanley sebagai penasihat bebas untuk mengkaji pilihan strategik yang dapat menyelamatkan syarikat penerbangan Malaysia itu.

Mengulas lanjut, Al Baker berkata, Qatar Airways komited untuk meluaskan perniagaan syarikat menerusi kekerapan penerbangan tambahan, sambil membawa lebih banyak pelancong ke Malaysia.

“Ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Kami juga mempunyai rejim ruang udara terbuka dengan kerajaan Malaysia, yang membolehkan kami meningkatkan kekerapan penerbangan,” katanya.

Berita Harian X