Jumaat, 18 Oktober 2019 | 2:42pm
PENGERUSI SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff

Nazir Ariff dilantik Pengerusi SME Bank

KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) melantik Datuk Seri Nazir Ariff sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya berkuatkuasa hari ini.

SME Bank adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata perlantikan Nazir sebagai Pengerusi SME Bank adalah tepat pada masanya.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat dan perniagaan akan dapat membantu meneraju SME Bank ke arah transformasi pembangunan yang mampan dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nazir, 73, adalah ahli korporat yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang, antaranya perbankan, hartanah, perlombongan, komoditi dan lain-lain.

Beliau adalah lulusan perakaunan dari United Kingdom dan juga menjadi Fellow of British Institute of Management.

Nazir adalah pengasas bersama Aspen (Group) Holdings Limited dan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif di Ivory Properties Group Bhd dari 2006 hingga 2013.

Nazir memulakan kerjaya dengan menyandang beberapa jawatan penting di Escoy Holdings Bhd (dahulu dikenali sebagai Datuk Keramat Holdings Bhd) sehingga tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut pada 2006.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Cawangan Utara) dari 1995 hingga 2018.

Berita Harian X