Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:19pm

Digi raih untung bersih suku ketiga RM362 juta

KUALA LUMPUR: Digi.com Bhd (Digi) merekodkan keuntungan bersih RM362 juta bagi suku ketiga 2019, susut 7.9 peratus berbanding RM393 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat telekomunikasi itu turut menyusut 2.4 peratus pada suku dikaji sebanyak RM1.549 bilion berbanding RM1.6 bilion pada suku sama tahun lalu.

Digi dalam satu kenyataan berkata, prestasi syarikat pada suku dikaji mencerminkan kesungguhannya untuk menyediakan pengalaman rangkaian yang berkualiti dan pilihan akses internet yang lebih banyak secara mudah alih di rumah dan WiFi di seluruh segmen pelanggan.

Katanya, rangkaian Digi kini menghubungkan 11.3 juta pelanggan di kawasan berkepadatan tinggi di seluruh negara dengan liputan 4G LTE merangkumi 90 peratus, LTE-A (70 peratus) dan rangkaian fiber 9,200 kilometer.

“Pelaburan strategik ini untuk mengembangkan kapasiti dan liputan rangkaian telah mengaktifkan peluang pertumbuhan data bagi suku dikaji.

“Pendapatan internet naik 10.8 peratus untuk tahun ke tahun kepada 64 peratus daripada pendapatan perkhidmatan atau RM905 juta, di mana pendapatan internet pascabayar dan prabayar bagi tahun ke tahun masing-masing naik 19.1 peratus dan 2.0 peratus.

“Jumlah lalu lintas data melonjak 49 peratus bagi tahun ke tahun, merentasi asas yang lebih besar sebanyak 9.4 juta pelanggan internet menggunakan data secara purata 12.9 gigabait bagi setiap pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty, berkata syarikat menumpukan perhatian untuk memastikan strateginya pada suku kewangan ini dapat dicapai, selain usaha untuk menyambungkan lebih banyak rakyat Malaysia dengan perkhidmatannya.

“Kami akan terus menyediakan penyambungan mampu milik dan lebih meluas kepada lebih ramai orang dan perniagaan dengan pada masa sama menjalankan perniagaan dengan lebih cekap.

“Selain itu, kami juga akan kekal fokus untuk memperkenalkan produk-produk inovatif ke dalam pasaran dan menembusi segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) sebagai sebahagian daripada pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.

Berita Harian X