Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:26pm

UBS hentikan 30 pekerja di pusat operasi utama

HONG KONG: UBS akan memberhentikan sehingga 30 pekerja di pusat operasi utama Hong Kong, Singapura, Sydney dan Tokyo selepas menggabungkan perniagaan pasaran global dan perbankannya, demikian menurut sumber.

Pemberhentian pekerja bank Switzerland itu bermula minggu lalu dan tertumpu kepada jawatan ‘hadapan dan sokongan pejabat’ dalam unit perbankan pelaburan serta perdagangannya, kata individu itu, yang enggan dikenali.

UBS pada September lalu berkata, ia akan menggabungkan perniagaan pasaran global dan perbankan sebagai langkah untuk membuat penstrukturan semula pegangan pasarannya.

Sebagai sebahagian daripada langkah berkenaan, unit ekuiti utama bank berkenaan akan digabungkan dengan operasi tukaran asing, kadar dan dagangan kredit yang lebih kecil untuk membentuk unit sekuriti dan dagangan tunggal ‘Global Markets’.

Ros Stephenson dan Javier Oficialdegui dinamakan sebagai Ketua Bersama Global bagi unit Global Banking yang baharu itu dan mereka akan memantau pengambilalihan dan penggabungan global, tawaran awam permulaan dan aktiviti pasaran modal.

Pusat kewangan Asia utama di Hong Kong dan Singapura yang memiliki majoriti kakitangan UBS Asia akan menjadi yang operasi paling terkesan dengan langkah berkenaan, manakala pekerja juga dikurangkan di Sydney dan Tokyo, kata sumber berkenaan.

Tambahnya, kebanyakan bank pelaburan membuat perubahan dengan mengehadkan jawatan barisan hadapan hanya kepada kakitangan bawahan.

UBS mempunyai 10,000 kakitangan di Asia dan jurucakap bank berkenaan enggan memberi komen mengenai pengurangan pekerjaan baharu ini.

Minggu lalu, Bloomberg melaporkan bahawa UBS akan mengurangkan 40 pekerja di Asia Pasifik.

-Reuters

Berita Harian X