Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:49pm
KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Asia Tenggara (AASEA), Sandeep Devgon (kiri) dan Ketua Bahagian Penyelesaian Insan di Jabatan Insan dan Kebudayaan AirAsia, Yazid Misnan pada Anugerah Pilihan Graduan 2019 di Kuala Lumpur. - Foto NSTP

AirAsia majikan pilihan graduan dalam dua kategori

KUALA LUMPUR: AirAsia dipilih sebagai majikan pilihan dalam kategori e-dagang dan khidmat perkongsian pada Anugerah Pilihan Graduan 2019, baru-baru ini.

Anugerah itu adalah salah satu anugerah penjenamaan majikan Malaysia terkemuka yang mengenal pasti perbezaan dalam sektor swasta dan industri sumber manusia.

Ia bertujuan meningkatkan kadar pengambilan kerja graduan Malaysia, membantu belia bagi mencapai potensi penuh mereka, dan memperkasakan pemimpin-pemimpin akan datang.

Ketua Pegawai Insan dan Kebudayaan Kumpulan AirAsia, Varun Bhatia berkata, syarikat bukan hanya mencari kemahiran dan pengalaman, namun mencari pekerja yang mampu menerapkan nilai syarikat yang mengambil seramai 4,600 Allstars secara global tahun lalu.

“Kami juga berbangga kerana diiktiraf dalam kategori e-dagang selama dua tahun berturut-turut iaitu kategori yang telah lama kami usahakan, terutama apabila AirAsia kini berubah menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan terkemuka.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan 25,000 graduan yang mengundi kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah terbabit telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin; Pemegang Amanah Talentbank, Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail dan Pengasas Talentbank, Ben Ho kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Asia Tenggara (AASEA), Sandeep Devgon dan Ketua Bahagian Penyelesaian Insan dan Kebudayaan di Jabatan Insan dan Kebudayaan AirAsia, Yazid Misnan.

Berita Harian X