Khamis, 24 Oktober 2019 | 1:11pm

Khazanah pindah pejabat ke KL Sentral jimat kos

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd akan memindahkan semua operasinya dari Menara Berkembar PETRONAS di KLCC ke premis baharu di KL Sentral bagi menjimatkan kos.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkata, langkah itu akan membolehkan sayap pelaburan kerajaan itu menjimatkan kira-kira RM20 juta setahun dari segi kos sewaan.

“Kami mempunyai dua pejabat di Kuala Lumpur. Sebenarnya, tiada keperluan untuk itu.

“Maka, kami akan menggabungkan semuanya ke dalam satu pejabat di lokasi lebih murah. Sekarang ini, kami berada di KLCC dan KL Sentral. Kami mungkin akan menutup (pejabat) di KLCC dan memindahkan semuanya ke KL Sentral.

“Itu akan menjimatkan kami kira-kira RM20 juta setahun, dari segi sewaan sahaja,” katanya kepada PAC.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee, sama ada Khazanah merancang untuk mengecilkan jumlah pekerjanya bagi mengurangkan kos keseluruhan operasi kira-kira 30 hingga 40 peratus.

Shahril Ridza berkata, Khazanah juga bercadang untuk menutup sebahagian pejabatnya di luar negara yang dianggap tidak perlu.

“Kami mungkin akan menutup sebahagiannya untuk membuat lebih banyak penjimatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Khazanah akan memastikan tidak terlebih membayar gaji kakitangannya, namun menegaskan ia perlu menawarkan gaji yang menarik kerana bersaing dengan bank pelaburan serta dana kekayaan berdaulat lain.

“Kami akan terus memastikan (Khazanah) kompetitif dalam pasaran tenaga kerja, kerana mahu menjamin kami mempunyai bakat terbaik mengendalikan dana kekayaan berdaulat ini,” katanya.

Khazanah ketika ini beroperasi di Menara 2, Menara Berkembar PETRONAS dan Mercu UEM di KL Sentral.

PAC mengesyorkan supaya Khazanah melaksanakan pelaburan secara strategik dan profesional tanpa ada pengaruh politik.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata Khazanah juga perlu meneruskan perancangan dan tindakan strategi baharu untuk mengawal risiko pelaburan syarikat seperti yang dimaklumkan kepada PAC.

Berita Harian X