Khamis, 24 Oktober 2019 | 5:36pm
DOMPET digital Maybank, MAE

Maybank jangka tiga juta guna dompet digital MAE

Maybank menjangka pengguna dompet digitalnya, MAE akan meningkat kepada tiga juta pada akhir tahun depan berbanding sejuta pengguna pada masa ini.

Ia didorong oleh insentif pembayaran e-dompet RM30 sekali bayar dalam Belanjawan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Datuk John Chong, berkata bank komited untuk mempromosikan agenda tanpa tunai negara dengan meningkatkan manfaat dan ganjaran kepada pengguna platform digitalnya.

Beliau berkata, MAE, yang dilancarkan pada Mac tahun ini, adalah yang pertama dan satu-satunya e-dompet di Malaysia dengan kemudahan perbankan, menawarkan pengalaman mudah alih generasi akan datang, termasuk keupayaan untuk membuka akaun perbankan melalui e-dompet tanpa perlu pergi ke cawangan.

“Penerimaan yang tinggi terhadap e-dompet dalam kalangan pengguna akan menetapkan landasan kepada negara untuk memacu agenda masyarakat tanpa tunai.

“Maybank2u adalah platform perbankan digital utama di Malaysia dari segi bahagian pasaran, dengan lebih 60 peratus daripada urus niaga perbankan mudah alih dan lebih 50 peratus daripada urus niaga perbankan internet di Malaysia dilaksanakan melaluinya pada 2018,” katanya.

Hari ini, hampir tiga juta pengguna mengakses Maybank App setiap minggu, manakala laman web menyaksikan lebih 36 juta pengunjung sebulan.

Log masuk sehari di platform mudah alih mencecah dua juta log masuk pada hari-hari tertentu, menunjukkan mudahnya pengguna menguruskan kewangan mereka melalui platform digital.

-BERNAMA

Berita Harian X