Khamis, 24 Oktober 2019 | 6:30pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto BERNAMA

PETRONAS penyokong kuat penggunaan gas asli

PETRONAS adalah penyokong kuat bagi penggunaan gas asli dalam menangani kemunculan aliran mega seperti urbanisasi pesat, pengurangan sumber dan peningkatan keperluan terhadap tenaga kuasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata dalam perancangan senario untuk tempoh sehingga 2040, syarikat minyak negara itu mengunjurkan bahan bakar fosil akan kekal sebagai penyumbang utama kepada campuran tenaga bagi tempoh 20 sehingga 30 tahun akan datang.

“Kami adalah penyokong kuat bagi gas asli atas sebab paling mudah iaitu ia bahan bakar fosil paling bersih,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah PETRONAS memberi sokongan padu kepada gas asli turut telah memperkukuh peranannya sebagai pembekal gas asli cecair (LNG) ketiga terbesar di dunia dan syarikat menjangkakan akan kekal dalam senarai lima teratas di masa sepan.

Wan Zulkiflee berkata, tumpuan bekalan LNG syarikat kekal terletak di Malaysia, Australia dan Mesir, dan senarai itu akan memasukkan Kanada pada 2024.

Beliau berkata, gas asli juga adalah satu daripada jawapan kepada isu kemampanan - agenda besar dalam industri - kerana ia melengkapi sumber tenaga baharu seperti tenaga solar.

“Masalah dengan tenaga solar adalah ia selanjar. Kecuali anda ada storan yang amat besar, anda tidak boleh memastikan bekalan berterusan.

“Jadi, kami sentiasa percayakan aspek saling melengkapi ini. Jika anda ada solar, anda juga akan perlukan gas. Misalnya, pada waktu malam atau hujan, akan berlaku penjanaan lebih banyak tenaga gas asli,” katanya.

Untuk masa depan, PETRONAS katanya telah menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga solar dan angin.

“Bagi tenaga solar, kami telah mengambil alih syarikat berpangkalan di Singapura (Amplus Energy Solutions Pte Ltd atau M+), dengan aset di India pada April tahun ini,” katanya.

Amplus Energy pakar dalam projek tenaga solar di atas bumbung dan di atas tanah, dengan kapasiti kumulatif lebih 500 megawatts (MW) - sesetengahnya ketika ini sudah beroperasi, manakala lainnya sedang dibangunkan.

Ia mempunyai projek di India, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Ini projek pertama kami dalam tenaga solar di luar Malaysia. Kami percaya untuk jangka panjang, perniagaan ini akan berkembang dari segi tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Bagi perniagaan tenaga angin, beliau berkata Malaysia kekurangan kelajuan angin yang diperlukan untuk menjana tenaga, oleh itu tumpuan perniagaan dalam bidang itu adalah di luar negara.

“Kami baru sahaja mewujudkan perniagaan itu pada April tahun ini dan masih mengkaji peluang-peluang,” katanya.

Selain itu, katanya PETRONAS telah menerajui usaha menyediakan kertas putih bagi pembangunan Landskap Tenaga Masa Depan Malaysia 2050 untuk kerajaan.

Wan Zulkiflee berkata, pembabitan PETRONAS dalam tenaga baharu telah memberikannya platform untuk membantu mencorakkan landskap tenaga Malaysia selaras dengan sasaran kerajaan bagi 20 peratus elektrik dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui pada 2025. - BERNAMA

Berita Harian X