Jumaat, 25 Oktober 2019 | 4:29pm
KETUA Pegawai Eksekutif KCOM, S T Rubeneswaran (kiri); Pengarah Urusan Guacoland Malaysia, Datuk Edmund Kong; Ketua Pegawai Eksekutif Guacoland Malaysia; Eusoffe Chua dan Pengarah Urusan HLXM, Mohd Reazan Mohd Fadzil pada majlis gabungan Pusat Inovasi Bersepadu HLX. NSTP/Rohanis Shukri.

Sasar kadar penghunian penuh HLX tahun depan

KUALA LUMPUR: Pusat Inovasi Bersepadu HLX (HLX) milik GuocoLand Malaysia Bhd (GLM) dijangka mencapai kadar penghunian penuh tahun depan selepas dilancarkan April lalu.

Pengurus Besar HLX Management Sdn Bhd (HLXM), Mohd Reezan Mohd Fadzil, berkata pada masa ini 100,000 kaki persegi ruang di pusat inovasi seluas 250,000 kaki persegi itu sudah mempunyai penyewa.

“HLX yang terletak di sepanjang Jalan Kia Peng di tengah ibu kota Kuala Lumpur menawarkan kemudahan pusat sehenti yang memberi fokus kepada komuniti korporat dan syarikat pemula niaga untuk memacu inovasi serta merangsang ekosistem di negara ini.

“Antara kemudahan yang ditawarkan di pusat ini termasuklah ruang kerja bersama serta beberapa kemudahan penganjuran program seperti auditorium, restoran dan gim.

“HLX adalah lokasi yang terbaik untuk komuniti menjalin kerjasama dan ini adalah inisiatif kami untuk membawakan akses pasaran dan kerjasama korporat bagi meningkatkan pelaburan ke dalam ekosistem inovasi di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan kepada media mengenai kemajuan pusat berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengarah Urusan GLM, Datuk Edmund Kong; Ketua Eksekutif Tower REIT, Eusoffe Chua dan Ketua Eksekutif KCOM Group, S.T Rubaneswaran.

Tower REIT adalah pihak berkepentingan utama dalam HLX yang bertanggungjawab membina dan menguruskan prasarana fizikal Pusat Inovasi Bersepadu (IIC) bagi HLXM.

Manakala, KCOM Group adalah penyewa utama yang akan beroperasi di aras enam HLX selain turut menjadi pihak berkepentingan utama dalam HLX Academy.

HLX yang berketinggian 32 tingkat itu menerima pelaburan berjumlah RM40 juta daripada Hong Leong Group.

Reezan berkata, kehadiran KCOM sebagai penyewa di HLX akan menjadi pertalian bagi aspek pembelajaran dan latihan bagi pembangunan modal insan.

“KCOM Group menjadi pengubah aliran dalam pembangunan modal insan di negara ini. Aras enam akan mengendalikan program latihan dan pensijilan bermula Disember ini,” katanya.

Berita Harian X