Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:01am
BASIL Ben Baldanza.

Baldanza mungkin terajui pemulihan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Basil Ben Baldanza, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Spirit Airlines adalah antara individu yang disebut-sebut sekumpulan pelabur tempatan untuk menerajui pelan pemulihan Malaysia Airlines Bhd.

Baldanza ketika dihubungi BH berkata, ada kumpulan pelabur menghubunginya dan memintanya bekerjasama dalam pemulihan Malaysia Airlines, jika mereka berjaya dalam bidaan mengambil alih syarikat penerbangan itu.

“Sekumpulan pelabur terdiri daripada usahawan Malaysia menghubungi saya dan bekerjasama bagi memastikan pembiayaan selamat dan pelan pemulihan mereka adalah kukuh.

“Saya bukan pelabur, tetapi bekerja dengan mereka. Mereka hubungi saya disebabkan pengalaman saya dalam industri penerbangan,” katanya.

Baldanza kini mempunyai firma penasihat, Diemacher LLC yang menumpukan kepada pemulihan syarikat penerbangan bermasalah di seluruh dunia.

Ketika ditanya adakah pelabur yang dimaksudkan itu kumpulan enam usahawan yang diketuai bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab melalui syarikat tujuan khas, Najah Air, Baldanza bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Bukan kumpulan usahawan itu. Ia kumpulan usahawan Malaysia yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Baldanza berkata, jika Malaysia Airlines ingin memulihkan kembali operasi, mereka perlu melupuskan semua pesawat berbadan lebarnya selain mengukuhkan perkongsian bagi menampung kos penerbangan jarak jauh.


Malaysia Airlines perlu merancang kapasiti dan laluan berdasarkan keuntungan. - Foto hiasan

“Malaysia Airlines juga perlu merancang kapasiti dan laluan berdasarkan keuntungan dan bukan emosi serta tidak membebani struktur tambang dan mengurus perniagaan bukan terasnya sebagai entiti yang berasingan,” katanya.

Sementara itu, sumber industri yang rapat dengan perkara itu berkata, Baldanza adalah sebahagian dari kumpulan usahawan Malaysia itu.

Sumber itu menambah, kumpulan usahawan yang melantik Baldanza terdiri daripada dua orang jutawan sebagai pelaburnya.

Katanya, kumpulan usahawan Malaysia yang melantik Baldanza itu antara 20 pelabur berpotensi yang dipelawa oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan syarikat induk Malaysia Airlines, iaitu Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) untuk menjadi rakan strategik.

“Dalam kalangan 20 pelabur ini, ada antaranya yang berminat dan ada yang tidak berminat. Proses penyenaraian pendek dijalankan merangkumi kemampuan kewangan dan strategi yang ingin dibuat untuk pemulihan Malaysia Airlines.

“Daripada senarai itu, empat pelabur disenarai pendek, termasuk kumpulan usahawan yang memilih Baldanza kerana dikatakan mempunyai kepakaran pemulihan strategi serta mempunyai dana kewangan yang kukuh,” katanya.

Baldanza adalah pakar dalam pemulihan syarikat penerbangan, dengan pencapaian mengubah hala tuju perniagaan Spirit Airlines menjadi sebuah syarikat penerbangan ultra tambang rendah.

Antara syarikat penerbangan global yang berjaya keluar dari permasalahan di bawah pimpinan Baldanza antaranya adalah Spirit Airlines, Continental Airlines, TACA Airlines dan NewLeaf Travel.

Firma Diemacher LLC miliknya itu dikenali kerana kepakaran dalam meningkatkan pendapatan dan strategi pengurangan kos, posisi kreatif dalam menghadapi persaingan, mengubah model perniagaan bagi memberi tumpuan kepada syarikat serta menyelesaikan masalah bagi syarikat penerbangan yang sedang berkembang.

Berdasarkan laman web Diemacher LLC, dinyatakan Baldanza boleh menjadi mentor kepada CEO, memberi pendapat berdasarkan pengalaman serta strategi komunikasi.

Baldanza juga berupaya membangunkan rancangan untuk mengurangkan kos, meningkatkan hasil dan menyelaraskan model perniagaan untuk berjaya.

Diemacher LLC juga mempunyai kepentingan minoriti dalam beberapa syarikat yang melantik Baldanza sebagai penasihat.

Sebagai CEO Diemacher LLC, Baldanza juga kini adalah Ahli Lembaga Pengarah JetBlue Airways (JBLU) serta pelabur dalam Connor Capital Transport Opportunities Fund.

Ia menguatkan lagi andaian Baldanza adalah pilihan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mempunyai suara majoriti dalam struktur baharu.

Sementara itu, laporan berita antarabangsa menyatakan terdapat tiga syarikat penerbangan global membida Malaysia Airlines iaitu Qatar Airways, Japan Airlines Co Ltd dan China Southern Airlines.

Bagaimanapun jurucakap Qatar Airways menafikan pembabitan mereka dan Japan Airlines pula menyatakan pihaknya tidak merancang sebarang pengambilalihan dalam syarikat penerbangan negara itu.

Berita Harian X