Khamis, 7 November 2019 | 2:18pm
PENGERUSI Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen (kiri) menerima Laporan Ketelusan Korporat 2019 (TRAC 2019)

GLC catat skor tinggi dalam laporan ketelusan

KUALA LUMPUR: Lapan daripada 10 syarikat senaraian awam terbesar Malaysia yang mencatatkan skor tertinggi dalam Laporan Ketelusan Korporat 2019 (TRAC 2019) adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) mengungguli senarai berkenaan, diikuti oleh KLCC Property and Real Estate Investment Trust, Malaysia Airports Holdings Bhd, AMMB Holdings Bhd, Unisem (M) Bhd, MISC Bhd dan Sime Darby Bhd.

Ia diikuti oleh tiga syarikat milik PETRONAS iaitu Petronas Chemicals Group Bhd, Petronas Gas Bhd and Petronas Dagangan Bhd.

Laporan itu juga mendapati, Malaysia berada pada landasan tepat untuk mengekalkan kawalan anti rasuah dalam sektor korporat.

Ia terbukti apabila 100 syarikat senaraian awam yang terbabit dalam TRAC 2019 meraih skor yang lebih baik berbanding skor ‘0’ membabitkan 74 syarikat pada 2017.

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat (MICG), Datuk Yusli Mohamed Yusoff, berkata 100 syarikat senaraian awam utama di Bursa Malaysia akan menerajui aspirasi ke arah identiti negara berintegriti.

Katanya, pembabitan sektor korporat itu adalah selaras sokongan institut itu kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang turut membabitkan sektor korporat.

“MICG menyokong penuh aspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang bukan terkenal dengan rasuah tetapi integritinya,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Ketelusan Korporat 2019 (TRAC 2019) di sini, hari ini.

TRAC 2019 dilancarkan oleh Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Mengulas mengenai TRAC 2019, Yusli berkata, laporan itu adalah mencerminkan agenda nasional dalam membanteras amalan rasuah terutama menerusi pengenalan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2020.

Katanya, penilaian tahun ini adalah menjurus kepada laporan mengenai program antirasuah syarikat yang mencatat angka dimensi sangat rendah pada 2017.

“TRAC 2019 adalah usaha berterusan MICG. Pada 2017, kami menerbitkan laporan pertama yang memberi tumpuan kepada tiga dimensi iautu program antirasuah, ketelusan dan kemampanan.

“Tahun ini, penilaian berdasarkan laporan tahunan syarikat, laman web dan data lain yang diperoleh daripada domain awam,” katanya.

Sementara itu, Shireen Ann Zaharah berkata, kelebihan daya saing Malaysia terhakis disebabkan ada pihak berkompromi dengan etika standard.

“Tadbir urus yang baik sering diperkatakan pada masa ini tetapi ia tidak dipraktikkan. Jadi, etika ini perlu diubah dengan meningkatkan ketanggungjawaban dalam membanteras pelbagai perkara termasuk kelebihan politik, perakaunan kreatif dan tindakan menambah kekayaan sendiri,” katanya.

Berita Harian X