Khamis, 7 November 2019 | 2:44pm
PUBLIC Bank. NSTP/Syarafiq Abd Samad

Untung sembilan bulan Public Bank RM5.31 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank (Public Bank) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM5.31 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Ia disokong pertumbuhan 2.3 peratus pendapatannya sebanyak RM16.78 bilion.

Pengasas merangkap Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata perkembangan terbaharu dalam persekitaran operasi memberikan banyak cabaran dalam industri perbankan.

Beliau berkata, tatkala halangan makro terus kekal, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei lalu juga menyebabkan penurunan dalam margin faedah bersih bagi sektor perbankan, yang memberi kesan terhadap keuntungan bagi sembilan bulan pertama berakhir September.

Bagaimanapun, katanya kumpulan berupaya mengekalkan prestasi keuntungan yang stabil, terutama disebabkan oleh pendapatan faedah yang stabil daripada perniagaan pembiayaan dan depositnya.

“Keuntungan kumpulan juga melengkapi pendapatan bukan faedahnya yang berkembang sebanyak 5.8 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

“Dalam tempoh kewangan itu, kumpulan terus mengekalkan tahap kebersaingannya, seperti yang ditunjukkan dalam nisbah kos kepada pendapatannya yang efisyen sebanyak 34.3 peratus dan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar yang rendah sebanyak 0.5 peratus.

“Hasilnya, Kumpulan mengekalkan pulangan bersih ekuiti yang kukuh sebanyak 13.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Public Bank juga mencatat pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik dalam tempoh sembilan bulan pertama apabila ia meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.2 peratus kepada RM327.2 bilion.

Bagi pinjaman domestik, jumlah pinjaman kumpulan berkembang pada kadar tahunan sebanyak 4.4 peratus lebih tinggi daripada pertumbuhan pinjaman tahunan sistem perbankan iaitu sebanyak 3.3 peratus.

Mengulas lanjut, Hong Piow berkata, meskipun perkembangan kurang baik masih berterusan dalam persekitaran makro disebabkan oleh faktor luaran, sektor perbankan domestik dijangka terus berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat pertumbuhan pendapatan.

“Kumpulan akan terus mengambil pendekatan berhati-hati meskipun risiko ke bawah semakin meningkat. Bagaimanapun, ini tidak menghalang kumpulan daripada meneruskan peluasan perniagaannya.

“Peluang perniagaan masih ada untuk diterokai oleh bank di negara ini dan di negara rantau ini yang terus berkembang.

“Ini termasuk permintaan yang masih ada untuk perumahan mampu milik dan peluang pertumbuhan baharu berikutan daripada kemajuan perbankan digital,” katanya.

Berita Harian X