Sabtu, 9 November 2019 | 4:07pm

NFCP teras pendapatan baharu TNB

KUALA LUMPUR: Sektor telekomunikasi bakal menjadi teras pendapatan baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi pembabitannya secara kritikal dalam menjayakan pembangunan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata TNB memiliki infrastruktur rangkaian kabel elektrik yang luas menghubungkan 9.1 juta sambungan kediaman dan komersial dan menyalurkan elektrik kepada 99.92 peratus rakyat di Semenanjung Malaysia

Katanya, dengan keupayaan itu, gergasi sektor tenaga terbabit mampu meneroka pembangunan infrastruktur baharu di Malaysia dengan membawakan ketersambungan liputan internet ke kawasan yang tidak pernah diteroka sebelum ini.

Beliau berkata, TNB mampu membuatkan projek itu lebih berdaya komersial kerana infrastrukturnya lebih dekat dengan kawasan yang tidak menerima liputan internet ditambah lagi kepakaran organisasi itu yang berpengalaman luas dalam perluasan transmisi ultiliti di semenanjung Malaysia sejak 70 tahun lalu.

“Terlalu banyak kawasan di Malaysia yang masih belum menerima liputan dan kelajuan internet yang sepatutnya. Kami dapati jalur lebar memiliki model perniagaan yang sama seperti ultiliti yang TNB lakukan kini.

“Di kawasan bandar pun ada yang belum memiliki sambungan internet kerana penyedia perkhidmatan telekomunikasi tidak melihat nilai komersial maka kami boleh laksanakan jika ada Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision (USP)) atau dibiayai bersama Kerajaan,” katanya kepada BH dalam temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas kejayaannya di projek Jasin, Melaka, Lembaga Pengarah TNB kini memberikan ruang untuk organisasi itu meneruskan sambungan infrastruktur jalur lebar itu kepada 135,000 kediaman lagi.

Katanya, sebahagian besarnya berada di kawasan bandar yang masih belum menerima perkhidmatan gentian optik kerana dianggap tidak berdaya komersial atau masih menggunakan rangkaian kabel tembaga.

“Perkhidmatan ini memerlukan penyedia peruncitan telekomunikasi menarik wayar daripada pusat infrastruktur mereka, namun bagi TNB memang sudah ada infrastruktur terus ke kediaman mereka, justeru kos infrastruktur kami jauh lebih rendah berbanding mereka.

“Menjelang awal tahun depan, kami mungkin akan meneroka negeri lain kerana pasukan kami sudah mendapatkan kelulusan untuk melaksanakannya, manakala bagi pantai timur, kami mungkin masuk jika dapat mencari kawasan yang ada nilai komersial kelak,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - NSTP/Aziah Azmee
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X