Rabu, 13 November 2019 | 4:50pm

Untung sembilan bulan SP Setia RM508.8 juta

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd, pemaju hartanah terkemuka mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM508.8 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2019.

Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan sebahagian besar oleh projek yang sedang dibina di Malaysia dan projek antarabangsa termasuk Battersea Power Station di London, United Kingdom.

Bagi tempoh dikaji, kumpulan meraih jualan sebanyak RM3.07 bilion dengan projek tempatan menyumbang sebanyak RM2.60 bilion, kira-kira 85 peratus daripada jumlah jualan manakala projek antarabangsa menyumbang kira-kira RM467 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen, berkata di tengah-tengah landskap yang mencabar dan pasaran hartanah yang lemah, strategi SP Setia adalah untuk melancarkan lebih banyak hartanah bertanah di perbandaran yang menyaksikan permintaan yang tinggi.

“Baki bulan yang tinggal, kira-kira RM2.17 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) akan dilancarkan.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelancaran hartanah di perbandaran Lembah Klang dan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pelancaran akan datang, ia menjadikan jumlah GDV bagi tahun kewangan 2019 kepada RM4.88 bilion.

Pelancaran baharu dirancang di perbandaran sedia ada Setia Alam, Setia Eco Hill, Setia Eco Templer, Setia Eco Park, Bandar Kinrara, Alam Impian, Setia Eco Garden dan Setia Tropika.

Di samping itu, kumpulan akan melancarkan rumah bersambung dua tingkat di Setia Warisan Tropika, perbandaran terbaharu yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, pada pertengahan bulan ini.

Mengulas lanjut, Chap Jen berkata, melihat kepada kepelbagaian produk dan sambutan menggalakkan terhadap Kempen Pemilikan Rumah (HOC), kumpulan kekal positif dan komited mencapai sasaran jualan sebanyak RM4.55 bilion.

Berita Harian X