Jumaat, 15 November 2019 | 6:12pm
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

AirAsia ada kaedah lain kembang operasi ke AS

SEPANG: Kumpulan AirAsia mempunyai pilihan lain untuk mengembangkan kehadiran mereka ke pasaran Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan ( FAA) AS menurun taraf Malaysia ke Kategori 2 dari segi keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata antara pilihan lain yang ada adalah pihaknya boleh beroperasi menerusi anak syarikatnya, AirAsia Japan untuk laluan ke AS.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah tidak boleh mengembangkan kehadiran ke AS dari Malaysia tetapi masih ada banyak cara untuk melakukannya.

"Kami sebelum ini di Indonesia pernah berada pada Kategori 2, begitu juga di Thailand dan kini Malaysia pula. Saya merasakan ini peluang terbaik untuk Malaysia membuat pembetulan dan saya amat positif yang kementerian juga akan memulihkannya semula.

"Saya masih ingat 18 tahun dulu sewaktu kami mula beroperasi, Jabatan Penerbangan Awam(DCA) (kini Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), adalah antara DCA yang paling dihormati di dunia dan sewaktu kali pertama berjumpa dengan mereka, saya amat mengagumi badan ini.

"Jadi saya tidak ragu (dengan CAAM), kita mempunyai kualiti dan kita hanya perlu mendapatkan orang yang terbaik. Ketepikan perbezaan dan mari bekerjasama untuk menangani masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran tawaran penerbangan syarikat lain di dalam laman web airasia.com di sini, hari ini.

Kerjasama itu dibuat dengan syarikat teknologi perjalanan Kiwi.com yang membolehkan pengguna untuk menempah tiket penerbangan selain AirAsia di laman webnya.

Sempena pelancaran itu, airasia.com mengumumkan tambang promosi termasuk semua ke Madrid dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney dari hanya RM99 yang boleh ditempah bermula 9 pagi esok.

Isnin lalu, FAA memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

Ia hasil daripada Kajian Semula FAA Review ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menjalankan audit pengawal selia yang mengawasi operasi penerbangan ke AS.

Audit itu merangkumi bidang perundangan, pengawasan, perwakilan kuasa serta kecukupan bilangan kakitangan teknikal di bawah CAAM.

Berita Harian X