Jumaat, 15 November 2019 | 6:45pm

Perkongsian kod Malaysia Airlines - American Airlines masih kekal

KUALA LUMPUR: Perkongsian kod Malaysia Airlines dan American Airlines masih kekal, tetapi sebagai perjanjian unilateral atau sepihak buat masa ini, demikian mengikut seorang pegawai syarikat penerbangan itu.

Beliau yang enggan dikenali berkata, perjanjian unilateral itu bermakna Malaysia Airlines masih boleh menggunakan kod pemasaran (MH*) dalam sektor berkenaan American Airlines.

Bagaimanapun, katanya lagi, American Airlines sudah mengeluarkan kod pemasaran

mereka (AA*) daripada sektor berkenaan Malaysia Airlines.

“Berikutan perubahan penarafan FAA Kategori 2, penumpang Malaysia Airlines masih boleh terus menempah dan terbang ke Amerika Syarikat (AS) menggunakan pesawat perkongsian kod yang dikendalikan American Airlines, tanpa sebarang gangguan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas mengenai laporan bahawa American Airlines tidak lagi akan menawarkan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan negara itu susulan keputusan Pentadbiran Penerbangan Awam Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia baru-baru ini.

Mengenai sama ada syarikat penerbangan itu akan mengikut langkah American Airlines, pegawai itu berkata: “Terpulang kepada syarikat penerbangan itu sendiri untuk menentukan.”

Laman web pengembara FlyerTalk, semalam memetik Pengurus Kanan Komunikasi Korporat American Airlines, Andrea Koos, sebagai berkata keputusan itu dibuat sebagai mematuhi penurunan penarafan oleh FAA.

Menurut FAA, garis panduan untuk mengekalkan klasifikasi Kategori 1 adalah jelas.

Bagi mengekalkan penarafan Kategori 1, sesebuah negara itu harus mematuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi teknikal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi penerbangan, yang menetapkan standard antarabangsa dan amalan yang disyorkan untuk operasi dan penyelenggaraan pesawat.

Bagaimanapun, FAA menentukan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) "kekurangan dalam satu atau lebih bidang" piawaian keselamatan penerbangan.

Kekurangan itu merangkumi "kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, penyimpanan rekod, dan/atau prosedur pemeriksaan".

Penilaian FAA itu selesai pada April 2019, dengan perbincangan berhubung keputusan itu berlangsung tiga bulan kemudian.

Akibatnya, semua tiket perkongsian kod semasa bagi pesawat Malaysia tidak lagi sah.

Menurut laman web View from the Wing, American Airlines terpaksa mengakhiri semua operasi perkongsian kod dengan Malaysia Airlines yang juga rakan kongsi Oneworld berkuat kuasa 11 November 2019, iaitu pada hari keputusan itu dibuat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X