Jumaat, 15 November 2019 | 7:00pm

airasia.com tawar jualan tiket penerbangan syarikat lain

SEPANG: airasia.com, cabang digital Kumpulan AirAsia, mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi perjalanan Kiwi.com bagi menawarkan tiket penerbangan syarikat lain di laman webnya.

Menerusi kerjasama itu, airasia.com menawarkan destinasi yang tidak terdapat dalam rangkaian penerbangan AirAsia X seperti ke London, Dubai, Madrid dan Auckland.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata langkah menjual tiket penerbangan untuk syarikat penerbangan lain yang juga pesaingnya tidak akan menjejaskan operasi syarikat penerbangan miliknya.

Katanya, syarikat sentiasa terbuka dengan persaingan malah pernah menawarkan kemudahan akademinya untuk digunakan oleh syarikat penerbangan lain.

“Saya suka persaingan dan perlu memastikan yang kami sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Jika pihak lain lebih baik daripada kami, maka kami perlu mengakuinya dan berhak untuk ditewaskan.

“Sehubungan itu, menerusi kerjasama dengan Kiwi.com, kami melalui fasa transformasi untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan dengan merealisasikan visi airasia.com sebagai platform pelancongan sehenti di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kerjasama itu di sini, hari ini.

Sempena pelancaran itu, airasia.com mengumumkan tambang promosi termasuk semua ke Madrid dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney dari hanya RM99 yang boleh ditempah bermula 9 pagi esok.

Mengulas lanjut Tony berkata, kerjasama dengan Kiwi.com adalah penting kerana AirAsia perlu sentiasa berubah untuk memastikannya sentiasa mengikuti arus perkembangan semasa.

“Kerjasama ini juga tidak akan menjejaskan jualan penerbangan kami kerana buat masa ini kami tidak menjual tiket penerbangan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang oleh pesaing.

“Saya juga ingin menjelaskan, kami bukan hanya menjual penerbangan, tetapi dengan kerjasama ini kami juga mahu menjual tiket bas, kereta api dan banyak lagi yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Berita Harian X