Isnin, 18 November 2019 | 4:09pm
PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib (kiri). NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Kumpulan HABIB agresif perkasa perniagaan modal insan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Habib agresif memperkasakan cabang perniagaan pembangunan modal insan bagi memanfaatkan kehadiran kukuhnya dalam pelbagai bidang barang kemas termasuk perkilangan, rekaan, pengeluaran, penjualan, pajak gadai Ar-Rahnu Express dan pelaburan hartanah.

Bagi tujuan itu, Kumpulan Habib menerusi anak syarikatnya Habib Learning Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama perniagaan strategik dengan Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) iaitu anak syarikat Uniutama Management Sdn Bhd di bawah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kerjasama dalam bidang pembelajaran, latihan dan pembangunan manusia itu menyediakan platform kepada Kumpulan Habib untuk meneroka potensi menawarkan program praktikal bagi bidang kepakarannya termasuk kepimpinan dalam keusahawanan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib, berkata menerusi kerjasama itu, Habib Learning dapat berkongsi pengetahuan praktikal dalam industri manakala UUM pula menyediakan bantuan penyelidikan, dan amalan terbaik.

Bahkan, katanya, urusan pensijilan yang diakreditasi UUM juga sangat bermanfaat untuk syarikat dan program luar anjurannya kerana setiap peserta program Habib Learning akan mendapat sijil yang diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi itu.

“Kami menjangkakan program luar pertama Habib Learning yang akan mendapat pensijilan UUM iaitu program Leader-preneur yang akan dapat dilaksanakan akhir bulan ini dengan sasaran sekitar 20 orang semua daripada latar belakang pemimpin pengurus perniagaan dan pengurus besar.

“Sebelum ini, Habib Learning sudah pun menyediakan latihan industri kepada peserta untuk menilai, menguji emas emas dan berlian iaitu kemahiran untuk menjalankan pajak gadai Islam, ini adalah antara fokus kami.

“Kumpulan Habib sudah memiliki bangunan dan kemudahan pengajian yang mana untuk permulaan kami meninjau gabungan 70 peratus adalah pekerja kami manakala 30 peratus peserta dari luar syarikat sebelum mengembangkannya pada masa depan,” katanya dalam sidang media di sini, baru-baru ini.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Habib Learning, Anuprakash Regunathen; dan Pengurus Besar UECSB Prof Madya Dr Halim Mad Lazim. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UUM yang juga ahli Lembaga Pengarang UECSB, Profesor Dr Yusnidah Ibrahim.

Sementara itu, Halim berkata, kerjasamanya dengan jenama HABIB adalah satu permulaan hebat dalam industri pendidikan dan berpotensi untuk dikembangkan lebih jauh termasuk ke negara jiran.

Katanya, pihaknya sedang membincangkan untuk melaksanakannya di 13 pusat pembelajaran UUM di seluruh negara membolehkan kerjasama itu meneroka pasaran di luar Kuala Lumpur selain meninjau mengembangkan latihan ini ke negara jiran dengan meninjau perluasan ke Medan, Indonesia dan pembukaan pusat latihan di Kemboja.

Berita Harian X