Selasa, 19 November 2019 | 4:20pm

'Kereta terbang' bakal diuji hasil kerjasama Malaysia-China

KUALA LUMPUR: Super dron atau ‘Kereta terbang’ yang bakal diuji dan dinaiki Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada Khamis ini adalah ciptaan bersama syarikat tempatan dan China.

Dikenali sebagai Super Dron, ia menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Super Dron itu dihasilkan menerusi usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Ia adalah kerjasama strategik bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron itu di negara ini.

EastCap Bhd adalah sebuah syarikat tempatan dengan Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari bertindak menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Struktur Super Dron itu juga tidak sama dengan kereta terbang yang sebelum ini didakwa dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan.

Terdapat beberapa keping gambar yang tersebar di laman Twitter yang didakwa sebagai kereta terbang berkenaan. Ia memaparkan sebuah kenderaan dengan kapasiti dua tempat duduk itu berwarna putih dan mempunyai lapan bilah kipas.

Berdasarkan carian di Internet, BH mendapati Ehang adalah sebahagian daripada siri pesawat tanpa pemandu (UAV) dan dron penumpang yang dibangunkan syarikat yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd.

Syarikat berkenaan meneroka perkhidmatan dalam bidang sinematografi udara, fotografi dan misi tinjauan.

Bagaimanapun, carian laman web rasmi EastCap tidak dijumpai dan syarikat berkenaan hanya menggunakan platform laman Facebook untuk menguar-uarkan mengenai perniagaan mereka.

Memetik laporan BH pada 10 Ogos lalu, EastCap dalam satu kenyataan berkata, dengan menggunakan teknologi AI, ia digunakan untuk kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia.

Malah syarikat itu berkata, pengenalan super dron di negara ini bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya ia dicadangkan kepada pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pihak berkuasa.

Syarikat itu juga menyasarkan pembinaan kemudahan pemasangan super dron berkenaan di Malaysia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 unit setahun.

Super dron itu berupaya melakukan penerbangan dengan ketinggian 300 meter dan kelajuan maksimum 130 kilometer (km) sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri adalah sejauh 110 kilometer.

Katanya, berdasarkan kajian pihaknya, super dron ini berupaya membawa maksimum dua penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram dalam satu-satu masa.

Hasil carian juga mendapati EastCap Bhd tidak hanya tertumpu kepada pemasaran dan pembangunan super dron tetapi turut mempunyai beberapa cabang perniagaan yang lain.

Syatikat itu juga bakal membuka sekolah penerbangan pertama di Jakarta, Indonesia dengan kerjasama Rumah Koperasi Indonesia (RKI).

Akademi penerbangan itu dikenali sebagai ‘Coop Air Pilot Academy’ yang akan menyediakan juruterbang terlatih dalam bidang penerbangan awam.

EastCap Bhd juga terbabit dalam industri perladangan terutamanya dalam pembangunan tanaman Guarana.

Syarikat itu juga menjalankan pelaburan bagi tujuan pembangunan kilang, sektor perladangan kepada tanaman guarana.

SUPER dron atau ‘Kereta terbang’ yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia. - Foto Eastcap Bhd.
Berita Harian X