X
Khamis, 21 November 2019 | 1:00pm
Malaysia bakal menjadi hab pemasangan super dron dengan Kepintaran Buatan (AI) kepada pasaran ASEAN.
Malaysia bakal menjadi hab pemasangan super dron dengan Kepintaran Buatan (AI) kepada pasaran ASEAN.

EastCap bina kilang super dron di Kuala Linggi

SUBANG: Malaysia bakal menjadi hab pemasangan super dron dengan Kepintaran Buatan (AI) kepada pasaran ASEAN dengan pembukaan kilang pemasangan di Kuala Linggi, Melaka pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Bhd (EastCap), Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, kilang pemasangan itu adalah pelaburan langsung asing (FDI) daripada syarikat pengeluar dron dari China, eHang Intelligent Equipment Guangzhou (eHang).

Beliau berkata, kilang pemasangan itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 hingga 20,000 unit setahun dan ia juga bakal menjadi kilang pemasangan pertama eHang di luar China.

“Dengan lantikan EastCap sebagai pengedar tunggal yang sah bagi super dron eHang untuk pasaran ASEAN, ia menjadikan Malaysia sebagai lokasi strategik mempunyai kemudahan pemasangan sendiri.

“Lantaran itu eHang bersetuju untuk menjalankan pelaburan dalam pembinaan kemudahan ini, yang pertama di luar China. Ia bakal menjadi hab pengeluaran kepada negara ASEAN.

“Malah ia juga memudahkan pihak kami sebagai pengedar tunggal dalam memasarkan dan mempromosikan super dron berkenaan yang berpotensi menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

“Jumlah pelaburan masih lagi dalam perbincangan tetapi ia membabitkan pelaburan swasta sepenuhnya,” katanya dalam satu temubual bersama BH semalam.

Zakwanhafiz bergambar bersama super dron yang dibawa masuk oleh syarikatnya di Subang.
Zakwanhafiz bergambar bersama super dron yang dibawa masuk oleh syarikatnya di Subang.

Zakwanhafiz mencuba super dron.
Zakwanhafiz mencuba super dron.

Zakwanhafiz berkata, kemudahan baru itu juga mampu memberikan peluang kepada Malaysia dalam perpindahan teknologi selain membuka peluang pekerjaan.

Beliau berkata, dalam berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta persediaan ke arah negara digital, perpindahan teknologi dan penggunaan teknologi baru adalah perkara penting kepada semua pihak.

Lantaran itu katanya, dengan adanya super dron di pasaran Malaysia kelak, ia dapat meningkatkan lagi penggunaan teknologi selain mampu memberikan penjimatan kos kepada industri yang terbabit.

“Ia memberikan bidang pekerjaan baru dan mempelajari teknologi baru. Ini yang sangat diperlukan dalam berhadapan dengan IR4.0. Apa yang penting adalah perpindahan teknologi selain mampu meningkatkan tenaga kerja mahir dalam industri dron.

“Kita mahu Malaysia menjadi juara dalam industri dron di rantau ini. Baik dari segi pengeluaran ataupun tenaga kerja mahir. Ia satu teknologi yang mampu berkembang pesat dan tidak mustahil jika suatu hari nanti, dron bakal menjadi antara pengangkutan utama dunia,” katanya.

Super dron dengan teknologi AI dari EastCap dan eHang itu juga bakal diuji dan dinaiki oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini.

Mengulas lanjut Zakwanhafiz berkata, selain pembangunan kilang pemasangan dron, pihaknya turut bakal membuka akademi pengendali khidmat super dron.

EastCap dilantik sebagai pengedar tunggal yang sah bagi super dron eHang untuk pasaran ASEAN.
EastCap dilantik sebagai pengedar tunggal yang sah bagi super dron eHang untuk pasaran ASEAN.

Super dron dengan teknologi AI dari EastCap dan eHang.
Super dron dengan teknologi AI dari EastCap dan eHang.

Beliau berkata, akademi itu bertujuan melahirkan pengendali dron berkemahiran tinggi selain bakal mewujudkan peluang pekerjaan baru.

“Industri dron berkembang pesat dalam dua tahun kebelakangan ini dan ia dijangka terus berkembang dan bakal memperkenalkan pelbagai model dron baru di seluruh dunia.

“Dalam berhadapan dengan itu, sudah tentu ia memerlukan ramai pengendali dron berkemahiran tinggi. Dengan akademi ini, kita mampu melahirkan pengendali dron tempatan yang diperlukan pasaran global,” katanya.

Zakwanhafiz berkata, ketika ini super dron berkenaan adalah versi import sepenuhnya (CBU) daripada pengeluar, eHang dan jika kemudahan yang dirancang dibangunkan di Malaysia siap sepenuhnya pada tahun hadapan, ia akan menjadi dron versi pemasangan tempatan (CKD).

“Seperti Proton X70 ketika ini adalah versi CBU dan barulah CKD. Begitu juga dengan super dron kami. Ia akan diubah suai mengikut keperluan yang ditetapkan oleh CAAM kelak.

“Ia juga menggunakan sepenuhnya dana swasta dan tidak membabitkan dana kerajaan kerana ia adalah inisiatif syarikat korporat,” katanya.

Berita Harian X