Isnin, 25 November 2019 | 5:29pm

RHB Bank raih untung suku ketiga RM615.8 juta

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) mencatat keuntungan bersih RM1.861 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, RHB Bank berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah.

Pada asas suku tahun-ke tahun, keuntungan bersih bagi suku dikaji adalah sebanyak RM615.8 juta, meningkat 6.4 peratus daripada RM578.7 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan itu dicapai menerusi pendapatan bersih berasaskan dana dan bukan dana yang lebih tinggi serta ECL yang turut meningkat.

Jumlah keseluruhan aset Kumpulan juga meningkat sebanyak 3.7 peratus dari Disember 2018 kepada RM252.1 bilion sehingga 30 September lalu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata RHB Bank menunjukkan daya saing yang tinggi dengan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi sembilan bulan pertama pada tahun ini di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar.

“Kami kekal mengambil pendekatan berhemah dalam mengembangkan perniagaan kami di samping terus melaksanakan langkah untuk menguruskan kualiti aset dan disiplin dalam pengurusan kos, disokong oleh asas kami yang kukuh.

“Kami terus membuat kemajuan yang baik dalam pelaksanaan pelan tindakan strategik FIT22 yang merangkumi pelaburan dalam prasarana teknologi dan menambahbaik keupayaan digital di samping pelaksanaan budaya kerja AGILE di dalam Kumpulan,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam segmen Perbankan Runcit, RHB Bank mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM722.5 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2019.

Deposit runcit juga meningkat sebanyak 12 peratus tahun ke tahun kepada RM57.2 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan dalam deposit tetap.

Berita Harian X