Selasa, 26 November 2019 | 5:10pm

Harga dagangan sulung saham Alibaba di Bursa Hong Kong naik 6.9 peratus

HONG KONG: Harga saham Alibaba Group yang pertama kali diniagakan di Bursa Hong Kong semalam melonjak kira-kira 6.9 peratus berbanding harga terbitannya selepas mencatat rekod penjualan saham terbesar di dunia setakat ini pada tahun semasa.

Gergasi e-dagang China itu meraih modal sekurang-kurangnya AS$11.3 bilion (RM47.28 bilion) daripada langkah penyenaraian itu, yang mana turut dilihat sebagai dapat meningkatkan keyakinan terhadap kedudukannya kewangan Hong Kong yang masih dibelenggu insiden protes anti-kerajaan yang semakin serius sejak enam bulan lalu.

Nilai berkenaan mampu meningkat sehingga AS$12.9 bilion (RM53.97 bilion) jika Alibaba memilih untuk melaksanakan pilihan ‘over-allotment’ dalam tempoh 30 hari bermula hari didagangkan.

Modal diraih itu akan membantu Alibaba, syarikat terbesar di Asia dan ketujuh terbesar dunia dari segi nilai pasaran, untuk melabur lebih banyak dalam pelbagai perkhidmatan dalam talian.

Bagaimanapun, penganalisis juga menyatakan bahawa dengan adanya asas pelabur di Hong Kong dan China, ia akan berfungsi sebagai sandaran kepada syarikat itu, jika sahamnya yang juga disenaraikan di New York terjejas, di tengah-tengah pertikaian perdagangan antara AS-China.

Dalam dagangan awal tengah hari semalam, saham berkenaan bertukar tangan pada HK$188.1 (RM100.32) sesaham, lebih tinggi berbanding harga IPO iaitu pada HK$176 (RM93.87).

Penyenaraian Alibaba di Bursa Hong Kong mengatasi jualan saham utama lain tahun ini, iaitu mendahului Uber Technologies AS$8.1 bilion menerusi IPO dan AS$5.7 bilion IPO bagi Anheuser-Busch InBev.

Menerusi laporan prospektusnya, Alibaba berkata, ia akan menggunakan dana itu untuk meningkatkan pelaburannya dalam platform perkhidmatan penghantaran tempatan, Ele.me dan platform agensi pelancongan dalam taliannya, Fliggy.

Alibaba juga bercadang untuk memperuntukkan lebih banyak bagi membangunkan Youku, salah satu platform video dalam talian terkemuka di China. - Reuters

Berita Harian X