X
Selasa, 26 November 2019 | 8:33pm

RHL Ventures mahu labur dalam syarikat pemula niaga tempatan

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan swasta berpangkalan di Malaysia, RHL Ventures giat berusaha untuk melabur dalam syarikat pemula niaga tempatan yang berpotensi tinggi meningkatkan inovasi mereka di pasaran tempatan dan global menerusi pelancaran program pemecutnya.

Rakan Urusan Bersamanya, Rachel Lau berkata syarikat itu memiliki dua dana dengan saiz RM100 juta dan AS$100 juta yang telah 25 peratus digunakan.

“Kami masih ada dana untuk dibelanjakan. Fokus kami dengan program pemecut itu adalah untuk membangunkan ekosistem pelaburan dan keusahawanan Malaysia, serta mencari syarikat pemula yang inovatif dan disruptif,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat baharu RHL Ventures, di sini, hari ini.

Lau berkata, dengan landskap inovasi Malaysia kini menjadi lebih rancak dan dinamik berbanding sebelum ini, syarikat itu berharap dapat mengenal pasti dan bekerjasama dengan perniagaan terbaik negara dan paling berpandangan ke hadapan, serta membantu mereka menjadi juara tempatan dan global.

Selepas beroperasi selama tiga tahun, syarikat itu memiliki beberapa firma teknologi tempatan dalam portfolio pelaburannya; termasuk syarikat perisian penjagaan kesihatan sebagai perkhidmatan (SaaS) HealthMetrics, platform e-dagang makanan ringan sihat Signature Market dan pasaran reka bentuk dalaman dalam talian Atap.co.

Rakan Urusan Bersamanya, Raja Hamzah Abidin, berkata selain melabur dalam syarikat pemula niaga ini, RHL Ventures juga membimbing dan menjadi rakan kongsi mereka dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

Memberi contoh, beliau berkata, RHL Ventures membantu mengembangkan syarikat di sebalik jenama Rage Coffee, iaitu platform teknologi dan runcit yang membolehkan pelanggan memesan kopi menerusi aplikasi mudah alihnya, selain cawangan fizikalnya sendiri.

“Syarikat ini berkembang dengan sangat pantas daripada tiada satu pun cawangan kepada 12 cawangan dalam tempoh hanya lima bulan,” katanya.

Mengulas mengenai persekitaran operasi di sini, beliau berkata, Malaysia adalah tempat yang baik bagi syarikat untuk melakukan perniagaan kerana kos menjalankan perniagaan sangat berpatutan, manakala KDNK perkapitanya adalah antara yang tertinggi di rantau ini.

“Kita juga mempunyai usahawan yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan berupaya mengharungi pelbagai kitaran krisis kewangan,” katanya.

Bersempena dengan perasmian pejabat baharu RHL Ventures hari ini, syarikat itu juga mengadakan dialog yang menampilkan pandangan daripada tokoh-tokoh utama dalam kerajaan dan perbadanan Malaysia.

Tokoh berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Jalil Rasheed.

– BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X