Khamis, 28 November 2019 | 7:58am

TH Heavy Engineering catat untung lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih TH Heavy Engineering Bhd merosot kepada RM2.67 juta pada suku kewangan ketiga berakhir pada 30 September 2019 daripada RM100.76 juta tempoh sama 2018.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata keuntungan lebih rendah itu disebabkan ketiadaan pelepasan hutang sebagai sebahagian Skim Pengaturan.

Pendapatan, bagaimanapun meningkat kepada RM12.02 juta daripada RM79,000 bagi tempoh sama, didorong pengiktirafan perolehan daripada projek Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) pada suku dikaji.

Berhubung prospek, TH Heavy Engineering yakin namun berhati-hati terhadap prospek perniagaannya dalam sektor bukan minyak dan gas, bergantung kepada kejayaan pelaksanaan skim pengaturan yang dicadangkan sementara menunggu terbitan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus Islam kepada pemiutangnya.

Setakat 30 September 2019, syarikat itu melalui THHE Destini Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara THHE Fabricators Sdn Bhd dan Destini Shipbuilding & Engineering Sdn Bhd, mempunyai nilai kontrak bagi membekalkan, menyerahkan, pengujian dan pentauliahan tiga unit OPV untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjumlah RM738.9 juta.

Selain itu, setakat 30 September 2019 syarikat mempunyai nilai kontrak keseluruhan sebanyak AS$9.7 juta (RM40.47 juta) bagi perniagaan minyak dan gas.

“Melangkah maju, kami menjangkakan perniagaan fabrikasi kekal mencabar berdasarkan persekitaran persaingan domestik semasa. Bagaimanapun, syarikat giat berusaha untuk memperoleh perniagaan minyak dan gas dalam pasaran luar negara.

"Syarikat mengembangkan operasi dalam aktiviti pembaikan kapal dan pembinaan kapal, selain merancang untuk memperluaskan kegiatan kerja pengubahsuaian dan penyenggaraan serta kerja fabrikasi berkaitan minyak dan gas, yang dijangka memberikan pendapatan lebih stabil dan berulang,” menurutnya. - BERNAMA

Berita Harian X