Khamis, 28 November 2019 | 3:47pm

Untung bersih Maybank suku ketiga RM2.0 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) pada suku ketiga berakhir 30 Septermber 2019 naik 2.1 peratus kepada RM2.0 bilion daripada RM1.96 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan kumpulan perbankan terbesar negara itu meningkat kepada RM13.83 bilion daripada RM12.06 bilion.

Bank keempat yang terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu berkata, pendapatan operasi bersih menyaksikan lonjakan sejumlah 14.4 peratus berikutan peningkatan sebanyak 38.6 peratus dalam pendapatan berasaskan yuran bersih serta kenaikan enam peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama sehingga September 2019, pendapatan operasi bersih menokok 5.3 peratus dari tahun ke tahun didorong oleh tambahan sebanyak 12.5 peratus dalam pendapatan berasaskan yuran bersih serta pertumbuhan 2.6 peratus dalam pendapatan berasaskan dana, manakala keuntungan bersih berada pada RM5.75 bilion berbanding RM5.79 bilion yang direkodkan dalam tahun sebelum ini.

Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, dalam satu kenyataan berkata persekitaran operasi masih sukar diramalkan dan bank akan terus berhati-hati selepas melihat kepada ketidakpastian geopolitik yang berpanjangan.

"Bagaimanapun, kami didorong oleh keputusan bank yang agak stabil dan akan terus mencari peluang merentasi seluruh rantau ini terutamanya di ASEAN dan China," katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Farid Alias berkata tumpuan kumpulan terhadap disiplin harga, modal yang kukuh dan kedudukan kecairan termasuk pengurusan risiko yang baik serta kecekapan operasi, akan tetap menjadi keutamaan pada tempoh akan datang.

"Tahun ini terbukti agak mencabar kepada beberapa pelanggan kami disebabkan kesan pertumbuhan perdagangan global yang sangat lesu. Oleh itu, kami secara proaktif bekerjasama dengan mereka untuk menyusun semula fasiliti mereka. Pada masa yang sama, kami akan terus berwaspada dalam menguruskan kualiti aset kami di samping mengembangkan portfolio kami," katanya lagi.

Mengenai pinjaman dan prestasi deposit, Maybank berkata untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019, kumpulan mencatatkan pertumbuhan pinjaman keseluruhan sebanyak 3.4 peratus yang didorong oleh operasi di Malaysia yang mencatatkan meningkat sebanyak 5.3 peratus, mendahului pertumbuhan industri sebanyak 3.8 peratus serta pengembangan pinjaman dalam pasaran seperti China dan Indo-China.

Menurut bank itu lagi, sementara itu, kumpulan deposit, meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu 5.5 peratus, diterajui oleh pertumbuhan yang kukuh, masing-masing sebanyak 7.5 peratus, 6.0 peratus dan 4.5 peratus di Malaysia, Singapura dan Indonesia, sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memfokus kepada dana berkos rendah serta mengekalkan kecairan yang kukuh.

Untuk sembilan bulan pertama 2019, margin faedah bersih adalah sedikit lebih rendah pada 2.27 peratus daripada 2.32 peratus disebabkan oleh kesan pengurangan kadar pinjaman asas dan pengurangan beban deposit kos rendah dalam operasi di Indonesia. - Bernama

Berita Harian X