Isnin, 2 Disember 2019 | 7:04pm
IBU pejabat Sanichi Technology di Senai, Johor.
IBU pejabat Sanichi Technology di Senai, Johor.

BCA rancang bangunkan kilang gelatin halal pertama di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Sanichi Technology Bhd menerusi anak syarikatnya, BCA International Sdn Bhd (BCA), merancang untuk membangunkan Taman Perindustrian Gelatin Halal Melaka (MHGIP) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1.3 bilion.

Kawasan perindustrian yang terletak di Kuala Linggi, Alor Gajah itu akan turut menempatkan kilang gelatin halal yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Taman perindustrian seluas 85.8 hektar itu dijangka siap dibangunkan sepenuhnya menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif BCA, Mohd Hanif Tan, berkata syarikat dengan rakan strategiknya, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sedang dalam proses memuktamadkan pengambilalihan tanah daripada Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB).

Katanya, pembangunan kilang gelatin halal itu akan dilaksanakan dalam dua fasa sepanjang lima tahun dengan fasa pertama disasarkan untuk beroperasi pada pertengahan 2021 sebelum diteruskan dengan fasa kedua setahun kemudian.

“Taman perindustrian ini selain akan menempatkan kilang gelatin halal, ia akan turut mengandungi aktiviti perindustrian hiliran yang berkaitan membabitkan pelbagai industri termasuk makanan (yogurt, jeli, minuman); farmaseutikal (tablet, kapsul keras); kosmetik (produk penjagaan rambut/kulit, ubat gigi, losyen); perindustrian (pengeluaran kotak) dan filem seperti filem x-ray.

“Nilai pengeluaran daripada kilang gelatin halal ini pula mampu mencecah sehingga RM250 juta setahun untuk pasaran ‘niche’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersama-sama dengan agensi berkaitan amat menyokong inisiatif agenda nasional ini termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Industry Development Corporation (HDC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Pejabat Ketua Menteri Melaka, PKNM, PPMSB dan Bank Rakyat.

Jelasnya, BCA baru-baru ini telah menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) penting bagi membentuk pakatan straegik dengan rakan utama di dalam industri bagi memastikan kejayaan MHGIP ini.

Menurut Mohd Hanif, saiz pasaran gelatin global pada tahun 2018 dianggarkan bernilai AS$2.9 bilion (RM12.1 bilion) dan diunjurkan untuk berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) lapan peratus sehingga 2025.

Katanya, 78 peratus daripada bekalan gelatin global adalah dari Eropah dan Amerika Syarikat, manakala baki 22 peratus adalah dari negara lain, seperti China, Pakistan, India dan Rusia.

“Sejumlah 97 peratus daripada gelatin global adalah tidak halal dan hanya tiga peratus yang disahkan halal atau patuh syariah, yang mana adalah tidak mencukupi untuk memenuhi 24 peratus penduduk dunia yang beragama Islam.

“Ini menyediakan potensi besar terhadap BCA yang menceburi dalam pembinaan Taman Perindustrian Halal dan kilang gelatin halal pertama di Malaysia dan ASEAN dalam memenuhi permintaan domestik dan pasaran eksport global," katanya.

Berita Harian X