Selasa, 3 Disember 2019 | 6:09pm
Huawei Technologies Co Ltd merancang untuk memindahkan pusat penyelidikannya ke Kanada dari Amerika Syarikat (AS), kata Pengasasnya, Ren Zhengfei dalam satu temubual dengan Globe and Mail.

Huawei rancang pindah pusat penyelidikan ke Kanada

BENGALURU: Huawei Technologies Co Ltd merancang untuk memindahkan pusat penyelidikannya ke Kanada dari Amerika Syarikat (AS), kata Pengasasnya, Ren Zhengfei dalam satu temubual dengan Globe and Mail.

Kenyataan itu muncul selepas laporan Reuters pada Jumaat lalu bahawa AS sedang mempertimbangkan untuk meluaskan kuasanya bagi menghentikan lebih banyak penghantaran asing produk dengan teknologi AS ke Huawei.

Jabatan Perdagangan AS pada Mei lalu meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan sambil menyatakan ia berkaitan dengan isu kebimbangan negara.

“Pusat penyelidikan dan pembangunan Huawei akan dipindahkan dari AS. Ia akan dipindahkan ke Kanada,” kata Ren kepada Globe and Mail sambil menambah bahawa syarikat berkenaan juga akan mengeluarkan beberapa perkakasan rangkaian mudah alih di luar China.

Pengasas Huawei itu mahu membina kapasiti kilang baharu di Eropah untuk menghasilkan perkakasan rangkaian generasi kelima (5G) di sana dan berharap ia akan mengurangkan kebimbangan dari dakwaan AS bahawa produknya boleh digunakan oleh China untuk tujuan intipan, lapor Globe and Mail.

Bagaimanapun, Huawei tidak dapat mengeluarkan sebarang komen mengenai temubual Ren berkenaan apabila dihubungi Reuters.

Firma berkenaan sebelum ini menafikan ia berisiko terhadap keselamatan negara AS.

Syarikat berkenaan membelanjakan AS$510 juta ke atas operasinya di dalam cabang penyelidikan di AS pada tahun lalu, demikian menurut laporan Globe and Mail, yang turut menambah bahawa Huawei telah mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 600 kepada hanya 250 pekerja.

Dalam perkembangan berasingan, anak perempuan Ren merangkap Ketua Kewangan Huawei, Meng Wanzhou yang ditahan oleh polis Kanada di atas waran AS pada lewat tahun lalu sedang menuntut ekstradisi ke AS atas dakwaan melanggar sekatan ke atas Iran.

Pada masa ini, beliau berada dalam jaminan. Huawei telah menafikan dakwaan berkenaan dan China telah menggesa Kanada untuk melepaskannya.

Mengulas mengenainya, Ren berkata ia adalah satu contoh jelas campur tangan politik dari AS.

-Reuters

Berita Harian X