Khamis, 5 Disember 2019 | 4:35pm
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed. - Foto Asyraf Hamzah

Aerodyne beli kepentingan firma perisikan udara AS

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan dron dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan Malaysia, Aerodyne Group, memperoleh 60 peratus kepentingan kawalan di dalam Measure UAS Inc, syarikat perisikan udara utama di Amerika Syarikat (AS).

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul A Muhamed, berkata seiring dengan pengambilalihan itu, satu entiti perniagaan baharu, Aerodyne Measure Inc ditubuhkan untuk melayani pelanggan perusahaan di Amerika Utara.

Beliau berkata, entiti baharu itu akan menyatukan kepakaran dua syarikat dalam industri perkhidmatan dron global.

Katanya, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi pengembangan agresifnya untuk menjadi penyedia penyelesaian berasaskan dron nombor satu di dunia.

“Measure UAS Inc mempunyai kualiti dan reputasi perkhidmatan yang cemerlang, sekali gus mengukuhkannya dalam pengembangan perniagaan ke pasaran Amerika Utara.

“Dengan industri dron ketika ini dalam fasa penyatuan, di mana syarikat yang mampu memberikan nilai sebenar akan berada di atas, perkongsian ini adalah langkah tepat untuk kami bergerak ke fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Aerodyne Measure akan menyediakan pemeriksaan udara premium pada aset infrastruktur dalam utiliti tenaga, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas serta jalan raya, jambatan dan pelabuhan dengan memanfaatkan penyelesaian Aerodyne, Vertikaliti, berasaskan aset penyelesaian pengurusan awan.

 

Kamarul berkata, dengan menggabungkan dron pintar dan AI, Vertikaliti mampu berkesan dan lancar menguruskan aset serta memberikan penyelesaian terbaik kepada pelanggan, sekaligus meningkatkan prestasi dan mengoptimuman kos.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Aerodyne Measure, Brandon Torres Declet berkata, firma itu akan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pengurus aset yang ingin menggunakan sumber operasi mereka.

“Dengan menggabungkan kepakaran kami, syarikat telah mencipta perniagaan yang akan menjadi pemimpin pasaran,” katanya.

Berita Harian X