Khamis, 5 Disember 2019 | 8:51pm
PDB melantik Azrul Osman Rani sebagai MD dan CEO baharu, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Azrul Osman Rani Pengarah Urusan, CEO baharu Petronas Dagangan

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) melantik Azrul Osman Rani sebagai Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Azrul, penerima biasiswa PETRONAS akan mengambil alih tugas berkenaan daripada Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir.

Ketika ini, Azrul ialah Ketua Pembangunan Komersial dan Pembentukan Usaha Sama di Petronas Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC) dan peranan kedua sebagai CEO PRPC Utilities & Facilities.

“Azrul memulakan kerjayanya di perniagaan runcit PDB sebelum di Malaysian International Trading Corporation Sdn Bhd (MITCO) untuk memasarkan pelbagai produk petrokimia untuk pasaran Indonesia.

“Beliau menunjukkan kemahiran kepimpinan yang kukuh kemudian membawanya menjadi antara pengurus negara termuda yang dilantik untuk menerajui beberapa unit dalam MITCO serta bahagian lain dalam Petronas Group,” demikian mengikut PDB dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Syed Zainal berharap Azrul yang mempunyai pengalaman 23 tahun dalam perniagaan minyak dan gas, boleh membawa PDB ke tahap pertumbuhan seterusnya.

“Azrul telah mempunyai kerjaya yang berperanan menjadi contoh di PETRONAS dalam segmen pemasaran dan komersial, daripada aktiviti perdagangan, penggabungan dan pengambilalihan, serta rundingan yang akan melengkapkan dinamik perniagaan,” katanya.

Berita Harian X