Jumaat, 6 Disember 2019 | 2:41pm

Affin Bank raih anugerah teknologi Malaysia 2019 bagi inisiatif pembangunan komuniti PKS

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd mendapat pengiktirafan pada Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2019 bagi kategori mudah alih dalam industri perbankan, berikutan inisiatif digital terkininya melalui pembangunan aplikasi mudah alih “SMEColony”.

SMEColony adalah yang pertama untuk komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Affin Bank dalam kenyataan hari ini berkata, anugerah itu mengiktiraf syarikat yang luar biasa dalam revolusi teknologi tempatan untuk industri masing-masing bagi meningkatkan ekonomi Malaysia yang pesat berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata bahagian Perbankan PKS bank itu matang melalui kemajuan pesat pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk membangunkan PKS Malaysia termasuk menggerakkan komuniti PKS melalui saluran digital.

“Ini berikutan keperluan yang berterusan kepada bimbingan dan bantuan perniagaan untuk mengatasi jurang pengetahuan dan sokongan kewangan.

“Kebanyakan keperluan ini dikendalikan dalam kalangan agensi kerajaan manakala bank-bank komersial atau institusi kewangan seperti kami memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian perbankan dan pembiayaan,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X