Jumaat, 6 Disember 2019 | 4:16pm

IPO Aramco terbesar dalam sejarah

RIYADH/DUBAI: Tawaran awam permulaan (IPO) Saudi Aramco, gergasi minyak milik kerajaan Arab Saudi, akan menjadi yang terbesar dalam sejarah.

Bagaimanapun, ia tidak mencapai penilaian AS$2 trilion (RM8.3 trilion) yang begitu diharapkan oleh Putera Mohammed bin Salman.

Aramco menetapkan IPO pada 32 riyal (AS$8.53) sesaham, paras tertinggi indikatifnya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia akan menjana AS$25.6 bilion (RM106.5 bilion) dan mengatasi rekod penyenaraian AS$25 bilion (RM104 bilion) Alibaba Group Holding Ltd pada 2014.

Pada paras itu, Aramco akan mempunyai penilaian pasaran AS$1.7 trilion (RM7.07 trilion), sekali gus mengatasi Apple Inc sebagai firma senaraian awam paling bernilai di dunia.

Namun, penyenaraian yang dijangka dilaksanakan akhir bulan ini di bursa saham Riyadh, masih lagi jauh daripada sasaran awal Putera Mohammed bin Salman.

Aramco tidak menjelaskan bila sahamnya akan memulakan dagangannya di pasaran saham Arab Saudi, namun dua sumber berkata ia dijadualkan 11 Disember ini.

Arab Saudi bergantung kepada pelabur domestik dan serantau untuk menjual 1.5 peratus kepentingan selepas kurang minat diterima dari luar negara, meskipun penilaiannya dikurangkan kepada AS$1.7 trilion.

Permintaan daripada pelabur institusi, termasuk dana dan syarikat Arab Saudi mencecah AS$106 bilion (RM441 bilion), manakala permintaan pelabur runcit mencecah AS$12.6 bilion (RM52.4 bilion).

Kira-kira 4.9 juta pelabur runcit Arab Saudi membeli saham dalam gergasi minyak itu, termasuk 2.3 juta berusia antara 31 hingga 45 tahun.

Penasihat Aramco berkata, mereka mungkin sebahagian atau sepenuhnya melaksanakan 15 peratus opsyen ‘greenshoe’, membolehkannya meningkatkan saiz urus niaga itu kepada maksimum AS$29.4 bilion (RM122.3 bilion).

Penetapan harga dibuat ketika Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mula meningkatkan usaha untuk pemotongan bekalan minyak bagi menyokong harganya, jika ia dapat mencapai persetujuan minggu ini dengan pakatan lain seperti Russia.

Kebimbangan berhubung perubahan iklim, risiko politik dan kurangnya ketelusan korporat menjejaskan minat pelabur terhadap tawaran itu, memaksa Arab Saudi membatalkan rancangan untuk menjana sehingga AS$100 bilion (RM416 bolion) melalui penyenaraian domestik dan antarabangsa lima peratus kepentingan.

-Reuters

Berita Harian X