Jumaat, 6 Disember 2019 | 4:53pm

Affin sedia dana RM50 juta untuk PKS

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd akan menyediakan dana permulaan berjumlah sehingga RM50 juta yang disasarkan untuk 12,000 permohonan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 2020.

Pengarah Perbankan PKS, Lim Kee Yeong, berkata bagi tujuan berkenaan pihaknya akan meluluskan 1,000 permohonan sebulan berbanding 800 kelulusan pada masa ini, menjadikan keseluruhan 12,000 permohonan yang berjaya tahun depan.

“Kami bermula dengan RM25 juta hingga RM50 juta, dan akan terus menambah jumlah itu. Secara dalaman, kami tidak mengehadkan (jumlah yang diperuntukkan untuk PKS) selagi ada keperluan dan pasaran.

“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dengan harapan lebih banyak PKS akan memohon secara mudah dan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita semasa SME BizChat 2019, anjuran Affin Bank dan rakannya termasuk Amazon Web Services, OpenMinds dan ruang kerja bersama WorQ.

Beliau berkata, akaun bank, perbankan Internet dan insurans pemula niaga juga akan disediakan untuk PKS berkenaan.

“Setakat ini, kami mempunyai lebih 12,000 pemula niaga yang mempunyai akaun dengan kami sejak dua tahun lepas dan jumlah itu semakin meningkat. Kami secara purata mencatatkan 800 pemula niaga buat masa ini,” katanya.

Bagi kriteria pembiayaan, Kee Yeong berkata, PKS itu perlu mempunyai perniagaan bagi tempoh enam bulan.

“Selain itu perlu ada transaksi dalam perniagaan. Apabila permohonan diterima, kami akan mempertimbangkan, menilai dan membuat lawatan penilaian ke perniagaan, membincangkan mengenai cagarannya.

“Ini sangat penting supaya kami dapat melihat wujudnya komitmen, terdapat beberapa disiplin mengenai komitmen itu serta bagaimana kami boleh membantu perniagaan untuk berada di landasan yang betul.

“Pastinya kami mengharapkan sama seperti mana-mana kemudahan perbankan, kewangan mereka akan dijalankan dengan cara yang betul termasuk antara lain (kewangan) peribadi,” katanya.

Kee Yeong berkata, Affin Bank akan bermula dengan minimum RM100,000 bagi satu permohonan dan jumlah itu akan ditingkatkan sehingga RM300,000 apabila syarikat pemula niaga PKS berkembang ke fasa matang, selepas tahun kedua atau ketiga, akan terdapat lebih banyak perbincangan dengan bank.

Beliau berkata, bank itu bersedia membantu PKS dalam aspek perakaunan, pencukaian, panduan dan latihan tempat kerja selain telah mewujudkan sebuah aplikasi, SME Colony, untuk kumpulan sasaran, yang kini boleh didapati menerusi Android. - BERNAMA

Berita Harian X