Jumaat, 6 Disember 2019 | 5:01pm

RHB Bank tutup operasi perbankan di Hong Kong

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd akan menghentikan operasi perniagaannya di Hong Kong secara berperingkat dan dijangka ditutup sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

Bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya di Hong Kong secara beransur-ansur akan memberhentikan tawaran perkhidmatan kewangan kepada pelanggan sedia ada dan yang berpotensi.

“Persekitaran operasi pembrokeran yang semakin mencabar di Hong Kong telah mengakibatkan kerugian direkodkan bagi Kumpulan RHB Hong Kong. Akibatnya, ia tidak lagi berdaya maju untuk meneruskan operasi perniagaan.

“RHB Investment Bank, sebagai pemegang saham Kumpulan RHB Hong Kong akan menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan penggulungan operasi perniagaan mereka berjalan secara tersusun,” katanya.

RHB Hong Kong ialah anak syarikat milik penuh RHB Investment Bank Bhd yang juga dimiliki sepenuhnya oleh RHB Bank.

Berita Harian X