Jumaat, 6 Disember 2019 | 5:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia (CEO), Tan Sri Tony Fernandes hadir pada majlis pelancaran RedRecords di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun. - Foto Aswadi Alias

AirAsia ceburi pembangunan industri muzik Asia

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd (AirAsia) mengukuhkan lagi kehadirannya dalam perniagaan bukan berteraskan penerbangan dengan menceburi pembangunan industri muzik Asia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Tan Sri Tony Fernandes, berkata AirAsia kini bukan lagi hanya sebagai syarikat penerbangan tetapi mula menumpukan kepada perniagaan gaya hidup.

Beliau berkata, RedRecords, syarikat usahasama 50:50 dengan Universal Music Group (UMG) bakal membangunkan artis baharu Asia dan mengangkat muzik pop Asia (A-pop) kepada khalayak baharu di peringkat global.

Katanya, RedRecords akan memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan bakat dari Asia Tenggara dan seluruh benua dengan kriteria pemilihan yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Asia.

“Kami sudah merevolusikan perjalanan udara supaya semua orang boleh terbang dan sempena meraikan operasi AirAsia yang ke-18, kami akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global.

“Bagai sirih pulang ke gagang, kami kini kembali kepada industri muzik untuk merevolusikan budaya pop Asia pada masa hadapan dan meletakkannya di pentas global bersama UMG,” katanya selepas melancarkan RedRecords di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; CEO AirAsia X Group, Nadda Buranasiri; CEO of RedRecords, Hassan Choudhury serta CEO Asia Tenggara dan Naib Presiden Kanan Asia Universal Music Group, Calvin Wong.

RedRecords akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles serta akan menggabungkan kepakaran industri UMG dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran serantau dan global AirAsia.

Selain pembangunan artis dan Artists and Repertoire (A&R), syarikat rakaman tersebut juga akan menyediakan perkhidmatan pengedaran, pemasaran, pengurusan dan agensi.

Mengulas lanjut, Fernandes berkata, RedRecords juga bakal menjadi elemen penting kepada pertumbuhan perniagaan bukan berteraskan penerbangannya dalam tempoh jangka sederhana.

Kumpulan juga katanya menyasar perniagaan bukan berteraskan penerbangan menyumbang sekitar 60 peratus kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketika ini perniagaan berteraskan penerbangan menyumbang sekitar 80 peratus kepada pendapatan AirAsia.

“Peningkatan ketara itu berdasarkan kepada perancangan kumpulan yang mula meneroka pelbagai perniagaan lain bagi mengukuhkan pendapatan.

“Bukan bermakna kami mengurangkan perniagaan berteraskan penerbangan tetapi kami menyasar perniagaan bukan berteraskan penerbangan terus berkembang, sekali gus meningkatkan pendapatan kumpulan secara keseluruhan.

“Perniagaan bukan berteraskan penerbangan adalah perniagaan berteraskan gaya hidup seperti platform tiket dalam talian, penempahan hotel dan pengangkutan, perniagaan makanan dan minuman selain penyedia kandungan hiburan.

“Kita mahu AirAsia menjadi syarikat perjalanan dan gaya hidup terkemuka global,” katanya.

Fernandes berkata, AirAsia juga akan memfokuskan kepada transformasi sebagai peneraju gaya hidup dan syarikat perjalanan digital di peringkat global.

Selain muzik, beliau berkata AirAsia juga bakal meneroka peluang perniagaan lain berkaitan gaya hidup seperti penganjuran acara, konsert dan penyedia kandungan kreatif dan video.

“Kita mahukan semua orang sentiasa bersama dengan AirAsia kerana kehidupan kita kini selalu bersama dengan telefon pintar, jadi perlu gunakan perkara itu dalam perniagaan kami.

“Perniagaan gaya hidup menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan dan dengan adanya muzik dan kandungan kreatif, ia akan memastikan kumpulan sentiasa ada bersama pengguna,” katanya.

Berita Harian X