Jumaat, 6 Disember 2019 | 9:37pm

TNB dapat kelulusan teruskan ICPT

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mendapat kelulusan kerajaan untuk terus melaksanakan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan meluluskan pengurangan surcaj ICPT daripada paras semasa 2.55 sen/kWh kepada 2.00 sen/kWh bagi pelanggan bukan domestik, kata syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata, pengurangan 0.55 sen/kWh ICPT itu berikutan pengurangan dalam kos sebenar arang batu bagi tempoh Julai hingga Disember 2019, walaupun purata sebenar kos arang batu masih di atas harga penanda aras bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas bagi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) dari 2018 hingga 2020.

Katanya, Permintaan elektrik yang tinggi juga menyumbang kepada peningkatan dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan bagi tempoh itu.

“Kami ingin maklumkan bahawa kerajaan meluluskan menerusi surat daripada Suruhanjaya Tenaga bertarikh 6 Disember 2019, pelaksanaan berterusan mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020," katanya dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

TNB menjelaskan surcaj ICPT akan dilaksanakan berdasarkan purata tarif asas 39.45 sen/kWh.

Ia berkata, tiada surcaj akan dikenakan kepada pelanggan domestik.

Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terbabit.

-BERNAMA

Berita Harian X