Rabu, 11 Disember 2019 | 5:41pm
CHOONG Kum Choy.
CHOONG Kum Choy.

Pelanggan boleh guna Boost di stesen Petron

KUALA LUMPUR: Petron Malaysia memperluaskan perkhidmatan e-dompet di stesennya menerusi kerjasama strategik dengan Boost untuk membolehkan pembayaran tanpa tunai dilaksanakan.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy, berkatakerjasama dengan Boost memberi lebih banyak pilihan pembayaran yang mudah dan selamat untuk pelanggannya, selain ganjaran dan promosi.

“Usaha itu juga adalah selari dengan janji Petron Malaysia kepada pelanggan untuk memperkenalkan dan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang inovatif.

“Penerimaan orang ramai dan penggunaan e-dompet semakin pesat dan stesen servis kami lebih bersedia untuk menyediakan permintaan seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Petron bekerjasama dengan GHL Systems Bhd, syarikat pembayaran terkemuka di Malaysia dan ASEAN untuk memperkenalkan Boost di hampir semua stesen servisnya di seluruh negara.

Kerjasama ini juga membolehkan pembayaran melalui semua e-dompet utama Malaysia seperti Goodkredit, Grabpay, Maybank QRPAY, MBSB, Mcash dan Touch n Go serta e-dompet silang sempadan seperti Alipay dan Unionpay yang diterima di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, kerjasama dengan Petron membantu jenama e-dompet ini untuk memperluaskan jejak niaganya.

Menurutnya, ia juga adalah selaras dengan matlamat Boost untuk memacu penggunaan tanpa tunai di negara ini.

“Kami percaya kolaborasi dengan Petron akan terus menggalakkan dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kemudahan tanpa tunai sebagai sebahagian daripada perbelanjaan harian mereka,” katanya.

Bersempena kerjasama dengan Boost, Petron memberi ganjaran kepada pelanggannya yang mengisi minyak di stesen Petron melalui Kempen ‘Spend & Win SURE ONG!’ iaitu kempen inovatif bertujuan memberikan ganjaran terbaik kepada pelanggan setia.

Mulai sekarang hingga 31 Januari 2020, dengan perbelanjaan minimum RM50 menggunakan Boost, pengguna mendapat RM5 pulangan tunai terhad kepada dua pembayaran balik bagi setiap pengguna.

Selain itu, dengan setiap RM40 yang dibelanjakan di stesen Petron, ahli Petron Miles dan pengguna Boost akan mendapat satu cubaan dalam pertandingan cabutan bertuah.

Berita Harian X